53 kes dadah tumpas libat rampasan bernilai RM36 juta

Sheik Azhar menyampaikan surat penghargaan Pengarah JKDNKA kepada salah seorang pegawai Batalion 9 PGA atas dua siri kejayaan rampasan dadah sebelum ini.
Sheik Azhar menyampaikan surat penghargaan Pengarah JKDNKA kepada salah seorang pegawai Batalion 9 PGA atas dua siri kejayaan rampasan dadah sebelum ini.
A
A
A

KUANTAN -[DIKEMAS KINI] Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menangani 414 kes dengan nilai rampasan RM65 juta dalam tempoh Januari hingga Mei tahun ini.

Kejayaan itu hasil penugasan Op Taring Wawasan Kelantan, Ops Kontraban, Op Bersepadu Khazanah dan lain-lain operasi dilaksanakan Pasukan Task Force Briged Tenggara dalam tempoh tersebut.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner, Sheik Azhar Sheik Omar berkata, tangkapan dan rampasan berkait dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya menjadi penyumbang utama dengan 53 kes manakala nilai rampasan mencecah RM36 juta.

"Antara kejayaan yang dicapai termasuk rampasan dadah jenis syabu dengan anggaran berat 495 kilogram bernilai lebih RM17.8 juta oleh pegawai dan anggota Strike Force Batalion 9 PGA dalam Op Taring Wawasan Kelantan, Mac lalu.

"Selain itu, pegawai dan anggota risik Batalion 9 PGA turut berjaya merampas 499 kilogram syabu bersama sebuah van dengan nilai keseluruhan rampasan lebih RM17.9 juta," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Komander Briged Tenggara PGA di sini pada Isnin.

Pada majlis itu, Sheik Azhar turut menyampaikan surat penghargaan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) kepada dua pegawai dan 14 anggota Batalion 9 PGA Kuala Terengganu atas dua siri kejayaan rampasan dadah itu.

Turut disampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2022 kepada 162 pegawai polis dan pegawai awam dari Ibu Pejabat Briged Tenggara PGA, Batalion 7, 8 dan 9 PGA.

Sementara itu, Sheik Azhar dalam ucapannya mengingatkan warga Briged Tenggara PGA agar sentiasa meletakkan integriti pada tahap tertinggi dan menghindari diri dari sebarang perlakuan jenayah dan perlanggaran peraturan termasuk rasuah dan penyalahgunaan dadah.

"Berdasarkan statistik Kertas Siasatan Tatatertib (KST) dalam tempoh Januari hingga Mei tahun ini, sebanyak 18 KST dibuka melibatkan pelbagai kesalahan.

"Daripada jumlah itu, sembilan KST berkaitan kesalahan jenayah di bawah Akta Dadah Berbahaya, Akta Racun dan Kanun Keseksaan manakala sembilan lagi atas kesalahan tatatertib," jelasnya.

Beliau berkata, daripada keseluruhan KST yang dibuka itu, 11 daripadanya telah selesai siasatan dan dalam dalam tindakan Pihak Berkuasa Tatatertib manakala tujuh lagi masih dalam siasatan.

Pada majlis itu, turut dilancarkan Skuad Pengurusan Jenazah Masjid Al-Muhammadi Briged Tenggara PGA yang dianggotai 17 sukarelawan terdiri pegawai polis, pegawai awam, ahli Persatuan Keluarga Polis (Perkep) dan pesara dari Batalion 7 PGA.