Imunisasi jaga kebajikan warga Kementerian Pertahanan

Ikmal Hisham
Ikmal Hisham
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan melaksanakan program Kluster Imunisasi Warga Kerja Pertahanan bagi memelihara kebajikan warga kementerian itu termasuk veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, program itu merupakan satu daripada inisiatif dalam memudahkan proses mendapatkan vaksinasi kepada veteran ATM.

Beliau berkata, ia diuruskan dengan kerjasama Bahagian Pengurusan Kesihatan ATM dan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) menggunakan kemudahan ATM sedia ada seperti Rumah Sakit Angkatan Tentera sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

"Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sangat mengambil berat mengenai situasi semasa warga Kementerian Pertahanan sepanjang negara dilanda isu pandemik Covid-19 khususnya ke atas warga Veteran ATM.

"Justeru, kementerian melancarkan beberapa program dan sedang giat berusaha untuk mendukung hasrat kerajaan dalam usaha untuk mencapai sasaran 90 peratus penduduk mendapat vaksinasi Covid-19 sebelum akhir tahun ini," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ikmal Hisham berkata, program yang diterajuinya itu turut berhasrat untuk memanjangkan pemberian vaksinasi kepada Veteran ATM dan keluarga termasuk anak atau cucu berumur 12 tahun ke atas.

Jelasnya bagi memudahkan proses pendaftaran semasa di PPV kepada anak atau cucu, hanya ibu bapa atau wakil perlu hadir bersama tanpa kehadiran veteran ATM itu sendiri.

"Menerusi program ini pasukan vaksinasi ATM telah merancang program vaksinasi kepada veteran ATM bermula 4 Oktober hingga 8 Oktober ini di 59 PPV yang terdapat di dalam kem tentera di seluruh negara. Pemakluman awal sekurang-kurangnya tiga hari sebelum pemvaksinan bagi memastikan bekalan vaksin mencukupi di setiap PPV yang dipilih," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, veteran ATM dan keluarga diminta untuk mendaftar melalui pautan yang terdapat di media sosial JHEV ATM (https://tinyurl.com/vaksinveteranatm atau https://tinyurl.com/vaksinkeluargaveteran).

Bagi mendapatkan maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Pegawai Penyelaras iaitu Mej Hazamiah Mohd Gazali di talian 019-2980412 atau hotline JHEV ATM di talian 03-20508173. - Bernama