Selangor kaji naikkan caj beg plastik

Hee Loy Sian
Hee Loy Sian
A
A
A

KLANG - Kerajaan negeri Selangor akan mengkaji semula caj beg plastik yang dikenakan di negeri ini jika jumlah kutipan caj terus meningkat.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, peningkatan tersebut dibuat sebagai penegasan kerajaan negeri terhadap pengurangan penggunaan beg plastik dalam kalangan rakyat negeri tersebut.

Menurutnya, jumlah kutipan caj beg plastik setakat Jun tahun ini adalah sebanyak RM2.57 juta dan ia bukan satu pencapaian yang boleh dibanggakan.

“Kita jangkakan jumlah kutipan caj beg plastik di Selangor akan berkurang, namun jika ia bertambah maknanya kempen ini akan gagal.

“Kita lihat dulu jumlah kutipan tahun ini macam mana untuk kita kaji semula (caj beg plastik). Jika rakyat masih degil dan menggunakan beg plastik secara berlebihan, kita akan meningkatkan caj ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar Program Penutupan Program PRO500 Trees Sentosa di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa di sini pada Ahad.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan kerajaan Selangor mengutip sebanyak RM6 juta daripada orang ramai menerusi caj 20 sen bagi setiap beg plastik sejak pelaksanaan kempen Bebas Beg Plastik di negeri ini bermula pada 1 Januari 2017.

Katanya, hasil kutipan tersebut digunakan bagi menjalankan kempen kesedaran kepada orang awam dan mendidik masyarakat di negeri ini mengurangkan penggunaan beg plastik yang menjadi punca pencemaran alam sekitar.

Artikel Berkaitan: