Jadi bilal cilik surau sejak usia tujuh tahun

BESUT - "Apa yang saya buat selama ini hanyalah yang terbaik untuk anak dan keluarga, tak sangka pula dapat perhatian jemaah surau dan orang ramai."
Demikian luah Zurni Mat Zaid, 32, ibu kepada Ahmad Suffyan Mohd Nor, 10, yang menjadi tumpuan jemaah Surau Bukit Mali, Hulu Besut kerana aktif mengimarahkan rumah ALLAH sejak usia tujuh tahun.
Anak bongsu daripada dua beradik itu mendapat gelaran 'bilal cilik' kerana sering mengumandangkan azan dan menunaikan solat berjemaah di surau berkenaan.
Zurni yang menetap di kawasan pedalaman Kampung Bukit Mali bersama suaminya, Mohd Nor Samat, 51, berkata, minat anaknya terhadap azan mula dikesan ketika menyertai pertandingan di Sekolah Rendah Islam Darul Furqan (SRIDAF), Kampung Batu Tumbuh, Kampung Raja.
"Di situlah saya mula perasan tercetusnya minat dia pada azan dan dia cuba untuk berjinak-jinak menjadi bilal di Surau Bukit Mali.
"Alhamdulillah, jemaah surau sentiasa memberi sokongan, dorongan dan semangat kepada Suffyan," katanya.

Menurut laporan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) sebelum ini, Zurni memaklumkan suaminya sudah membiasakan anak-anak menghadiri majlis ilmu agama sejak berusia setahun.
Keluarga itu juga menjadikan kunjungan ke masjid atau surau setiap Jumaat sebagai amalan untuk mendengar dan mempelajari ilmu agama.
Apabila Ahmad Suffyan berusia tujuh tahun, bapanya mula membawanya menunaikan solat berjemaah di Surau Bukit Mali sehingga menjadi rutin harian.
Zurni berkata, anaknya mudah bangun pagi dan tidur awal tanpa banyak masalah.
Murid Tahun Empat itu memulakan persiapan seawal jam 5 pagi sebelum dibawa bapanya ke surau untuk solat Subuh berjemaah.
Selesai solat, Ahmad Suffyan menunggu gurunya, Cikgu Idayu pada jam 6.30 pagi untuk menumpang kenderaan ke sekolah.
"Balik sekolah jam 5.30 petang baru sampai rumah, mandi, makan dan biasa dia rehat atau bermain juga dengan saudara-mara.
"Dekat dengan waktu Maghrib, dia akan bersiap hendak ke surau dengan abinya untuk solat Maghrib dan Isyak.
"Balik dari surau, kalau tiada kerja sekolah dia terus tidur. Paling awal jam 9 malam dan paling lewat pukul 10 malam," jelasnya.
Menurut Zurni, faktor keselamatan menyebabkan Ahmad Suffyan tidak dibenarkan ke surau bersendirian, sebaliknya sentiasa ditemani bapanya menaiki motosikal atau kereta.
Suaminya mencari rezeki sebagai penoreh getah selain melakukan kerja pertukangan rumah.
Kesungguhan Ahmad Suffyan turut mendapat penghargaan apabila dihadiahkan sebuah basikal pada 12 November selepas solat Isyak.
"Anak saya teruja bila tiba-tiba menerima kejutan sebuah basikal. Alhamdulillah, terima kasih semua," katanya.
Sementara itu, jemaah Surau Bukit Mali, Muhammad Al Naim Mohd Noor, 35, berkata, hadiah tersebut merupakan sumbangan Farhan Akhnan Ibrahim, 39, sebagai galakan kepada Ahmad Suffyan.
Zurni berharap anaknya terus istiqamah, taat kepada ibu bapa dan berbakti kepada masyarakat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

