82.5 peratus populasi dewasa lengkap vaksinasi setakat semalam

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 82.5 peratus atau 19,311,563 individu daripada populasi dewasa di negara ini telah lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam (Jumaat).

Berdasarkan perincian yang dikongsi menerusi portal CovidNow pada Sabtu, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan sebanyak 93.6 peratus atau 21,903,061 individu daripada populasi dewasa telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin.

Selain itu, seramai 25,326 atau 0.8 peratus daripada populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah melengkapkan suntikan vaksin setakat semalam.

Bagi kedua-dua populasi, sebanyak 273,373 dos suntikan vaksin turut diberikan semalam melibatkan 116,881 dos pertama dan 156,492 dos kedua menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos vaksin sebanyak 41,847,256 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.

Sementara itu, sebanyak 250 kes kematian akibat Covid-19 dicatatkan setakat pukul 11.59 malam tadi (24 September), menjadikan jumlah kumulatif kematian kini sebanyak 24,931.

Menurut portal GitHub KKM, jumlah itu merangkumi sembilan kematian sebenar Covid-19 dicatatkan dalam tempoh 24 jam (24 September), manakala selebihnya adalah kes kematian tertunggak atau ‘backlog’.

Bagaimanapun, angka itu boleh berubah sekiranya terdapat kes kematian yang dikemas kini.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan graf purata jumlah kes kematian harian sebenar selama tujuh hari pula, sebanyak 91 kes kematian sebenar akibat Covid-19 dicatatkan.

Sebanyak 49 daripada jumlah kematian baharu itu dilaporkan berlaku di luar hospital (BID). - Bernama