Elaun bulanan pengerusi JPKK di Pahang naik kepada RM750

Wan Rosdy Wan Ismail
Wan Rosdy Wan Ismail
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang bersetuju menaikkan kadar elaun bulanan kepada seramai 543 pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) berkuatkuasa pada 1 Jun lalu.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia melibatkan kenaikan sebanyak RM250 atau 50 peratus daripada RM500 kepada RM750.

Menurutnya, kenaikan kadar elaun bulanan kepada pengerusi JPKK itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri pada Rabu.

"Nilai kenaikan itu ditanggung kerajaan negeri terlebih dahulu sehingga kelulusan mengenainya diperoleh daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

"Melalui kenaikan ini diharap membantu mengurangkan beban kewangan selain mendorong mereka untuk menunaikan tanggungjawab dengan lebih berkesan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Tambah Wan Rosdy, melalui mesyuarat itu, kerajaan negeri turut meluluskan cadangan mewujudkan tiga lagi JPKK di Pahang iaitu JPKK Kampung Seri Sedia dan Kampung Raja di Cameron Highlands.

"Sementara menunggu kelulusan kewangan dan penubuhannya oleh KPLB, kos bagi pengendalian ketiga-tiga JPKK itu juga akan ditanggung terlebih dahulu oleh kerajaan negeri," katanya.

Katanya, melalui kewujudan JPKK baharu itu diharap mutu perkhidmatan kemasyarakatan yang lebih padu dan berkesan dapat diberikan untuk manfaat penduduk kawasan terlibat.

Artikel Berkaitan: