Insiden pemancing lemas tidak libatkan perlanggaran kapal: Polis

Anggota bomba dan pasukan penyelam bersiap sedia sebelum memulakan misi menyelamat di Jeti Mados Kampung Air Putih, Kota Tinggi pada pagi Rabu.
Anggota bomba dan pasukan penyelam bersiap sedia sebelum memulakan misi menyelamat di Jeti Mados Kampung Air Putih, Kota Tinggi pada pagi Rabu.
A
A
A

KOTA TINGGI - Insiden lemas melibatkan dua pemancing di Jeti Mados, Kampung Air Putih di sini bukan disebabkan oleh perlanggaran bot dinaiki mangsa bersama kapal korek pasir yang berada berhampiran kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Suhaimi Ishak berkata, perkara itu adalah berdasarkan hasil siasatan dan makluman orang awam yang diterima susulan kejadian itu.

"Polis menerima makluman pada Isnin (20 September) kira-kira jam 10.30 malam daripada pengusaha kapal korek pasir di Jeti Mados.

"Dimaklumkan, pihak mereka telah terdengar bunyi dentuman kuat dari arah bawah dan didapati ada sebuah bot awam berada berhampiran dengan sebuah kapal korek pasir.

"Hasil siasatan awal, didapati tiada pelanggaran di antara bot dan kapal korek tersebut selain keadaan bot tersebut yang masih terapung dalam keadaan baik," katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Rabu.

Mohd Suhaimi berkata, siasatan juga percaya kedua-dua pemancing itu telah terjatuh ke dalam sungai sebelum lemas.

"Berdasarkan makluman pengusaha kapal korek, mereka melihat bot tersebut masih terapung di dalam sungai dalam keadaan baik tetapi dua pemancing lelaki tidak kelihatan.

"Dua pemancing itu disyaki telah jatuh dan lemas. Hasil pemeriksaan ke atas mayat mangsa selepas ditemui mendapati keadaan fizikal sempurna, tetapi keadaan pada tubuh badan mangsa telah mula kelihatan membengkak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, mayat dua pemancing yang dilaporkan hilang selepas menaiki bot dari Jeti Mados, Kampung Air Putih di sini pada malam Isnin ditemui selepas dua hari hilang.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Penguasa Bomba Al Hasra Mohamed berkata, kedua-dua mayat lelaki itu ditemui nelayan tempatan secara berasingan.

“Mayat mangsa pertama Ramdan Sulaiman, 50, ditemui lebih kurang lima kilometer dari lokasi bot mangsa pada jam 7.10 pagi manakala, mayat kedua, Amiruddin Abdul Malik, 53, ditemui jam 8.04 pagi pada jarak 200 meter dari lokasi bot mangsa,” katanya.