Peserta konvoi kenderaan lasak lemas di Sungai Lebir

Lokasi mangsa dikatakan tergelincir sebelum lemas di Sungai Lebir.Gambar kecil:Mohd Hanafiah
Lokasi mangsa dikatakan tergelincir sebelum lemas di Sungai Lebir.Gambar kecil:Mohd Hanafiah
A
A
A

GUA MUSANG - [DIKEMAS KINI] Seorang peserta sukan ekstrem lemas ketika mandi di Sungai Lebir di sini pada Jumaat.

Mangsa Mohd Hanafiah Abd Hamid, 54, sebelum itu tergelincir ke dalam sungai pada jam 5.17 petang.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, pihak polis menerima maklumat kecemasan berhubung kejadian dan sepasukan anggota polis dari Balai Paloh digerakkan ke lokasi.

Menurut beliau, operasi menyelamat turut dibantu oleh pasukan bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) daerah berkenaan.

“Mangsa dari Putrajaya menyertai program Jamboree Peminat 4x4 di kawasan Sungai Lebir.

“Hasil siasatan mendapati mangsa tergelincir ketika mandi dan dihanyutkan ke tempat air yang dalam,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, di sini, pada Sabtu.

Ujar beliau, ketika kejadian berlaku, rakan-rakan mangsa cuba membantu untuk menyelamatkannya namun gagal hingga pasukan penyelamat menemukan jasad lelaki itu pada jam 5.30 petang.

“Mayat mangsa dijumpai oleh pihak bomba dan APM serta diserahkan kepada polis untuk bedah siasat.

“Hasil proses itu mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat lemas dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” kata Choon Foo.

Tambah beliau, mangsa ialah seorang peniaga yang berasal dari Felda Ulu Belitong, Kluang, Johor.