Kerajaan kemas kini Pendapatan Garis Kemiskinan

 Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan mengemas kini Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) pada tahun hadapan serentak bersama dengan survei pendapatan, perbelanjaan isi rumah (HIES) dan Kemudahan Asas (BA) 2022.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PGK yang diguna pakai ketika ini adalah berdasarkan metodologi PGK, HIES dan BA pada 2019.

“Berdasarkan metodologi PGK 2019, PGK nasional adalah sebanyak RM2,208 sebulan, berbanding dengan PGK 2016 yang mengguna pakai metodologi 2005 iaitu RM980 sebulan.

“Dengan menggunakan metodologi PGK 2019, kadar kemiskinan mutlak adalah 5.6 peratus terdiri dari 405,441 isi rumah pada tahun 2019 berbanding 7.6 peratus meliputi 525,743 isi rumah pada tahun 2016.

“Kadar kemiskinan bandar adalah 3.8 peratus dan kadar kemiskinan luar bandar sebanyak 12.4 peratus bagi tahun 2019,” katanya menerusi jawapan bertulis terhadap soalan yang ditanyakan oleh Kesavan Subramaniam (PH-Sungai Siput) di Dewan Rakyat pada Selasa.

PGK dikira berdasarkan jumlah pendapatan yang diperlukan oleh sesebuah isi rumah bagi memenuhi keperluan minimum makanan dan bukan makanan untuk hidup sihat dan aktif dalam masyarakat.

Dalam pada itu, menjawab soalan daripada Natrah Ismail (PH-Sekijang) mengenai penilaian semula had garis kemiskinan ekoran peningkatan pengangguran dan golongan B40, Ismail Sabri berkata, walaupun kedua aspek itu berkait dengan PGK, namun ia menggunakan metodologi yang berbeza.

“Berikutan pandemik Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan, kerajaan telah mengkaji kesannya ke atas sosioekonomi rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Kajian ini merangkumi simulasi kepada data daripada HIES dan BA 2019 dan profil isi rumah 2019 yang kemudian disesuaikan dengan corak taburan isi rumah 2020. Fokus kajian ini adalah bagi melihat kesan pandemik Covid-19 ke atas pendapatan isi rumah dan kemiskinan bagi tahun 2020.

“Berdasarkan kajian ini, insiden kemiskinan mutlak telah meningkat kepada 8.4 peratus daripada 5.6 peratus pada tempoh yang sama. Walau bagaimanapun, kajian ini tidak mengeluarkan nilai PGK yang baharu iaitu nilai PGK 2019 masih dikekalkan,” jelasnya.

Ismail Sabri menambah, pada tahun 2019, item yang diambil kira dalam keperluan makanan dan bukan makanan ditambah baik untuk menggambarkan peningkatan kualiti dalam kehidupan.

Katanya, konsep PGK makanan berubah daripada keperluan ‘minimum’ kalori kepada keperluan ‘optimum minimum’ yang menunjukkan peningkatan kualiti item bakul makanan.

“Bagi PGK bukan makanan pula, keperluan kumpulan B20 telah bertambah dari 106 kepada 146 item dan mengambil kira perubahan pola perbelanjaan isi rumah, harga barangan dan perkhidmatan semasa,” ujarnya.

Pada masa sama, Ismail Sabri turut menjelaskan, bahawa peningkatan kadar pengangguran akan menyebabkan pendapatan isi rumah miskin dan pendapatan B40 berkurangan seterusnya meningkatkan bilangan isi rumah yang berada di bawah PGK.

“Misalnya, terdapat isi rumah yang dikategorikan sebagai M40 berdasarkan HIES dan BA 2019 mengalami penurunan pendapatan di bawah had pendapatan B40 tahun 2020.

“Berdasarkan laporan Anggaran Pendapatan Isi Rumah dan Insiden Kemiskinan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, sebanyak 20 peratus atau kira-kira 580,000 isi rumah daripada kumpulan M40 yang berpendapatan antara RM4,850 dan RM10,959 telah beralih kepada had kumpulan B40,” katanya.