Kenderaan patah balik kantoi bawa syabu RM1.296 juta

Anggota polis menunjukkan dadah jenis syabu seberat 36 kilogram (kg) bernilai RM1.29 juta yang berjaya dirampas semasa menjalankan tugas dalam Op Benteng berhampiran Kampung Sejijak di Jalan Tebedu-Serian, Sabtu lepas. - Foto Bernama
Anggota polis menunjukkan dadah jenis syabu seberat 36 kilogram (kg) bernilai RM1.29 juta yang berjaya dirampas semasa menjalankan tugas dalam Op Benteng berhampiran Kampung Sejijak di Jalan Tebedu-Serian, Sabtu lepas. - Foto Bernama
A
A
A

SERIAN - Polis menahan seorang lelaki dan merampas syabu seberat 36 kilogram (kg) bernilai RM1.296 juta semasa menjalankan tugas dalam Ops Benteng berhampiran Kampung Sejijak di Jalan Tebedu-Serian pada Sabtu lepas.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, dalam operasi pada jam 5 pagi itu, pasukannya mengesan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan dari arah Serian menuju ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu apabila ia berpatah balik sebaik tiba dekat dengan kompleks itu.

“Pasukan itu kemudiannya mengejar, sebelum berjaya menahan kenderaan itu di Kilometer 8 dan hasil pemeriksaan lanjut telah menjumpai empat beg yang berisi 36 bungkusan disyaki mengandungi syabu,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Selasa.

Beliau berkata, suspek berusia 48 tahun itu ditahan dan ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki itu positif dadah methamphetamine.

Aidi berkata, siasatan awal mendapati suspek berkenaan merupakan seorang penghantar yang mendapat upah sebanyak RM2,000 bagi setiap kilogram dadah yang dihantar kepada warga Indonesia yang tidak dikenali untuk pasaran di negara jiran itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: