X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 18 Oktober 2021

Projek sawah padi skala besar di Kedah

AZMAN
A
A

ALOR SETAR - Projek Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) bagi meningkatkan produktiviti tanaman padi dan pendapatan pesawah dijangka dilaksanakan pada musim 2/2021.

Exco Pertanian, Industri Makanan,Perladangan dan Komoditi Kedah, Azman Nasrudin berkata, projek itu dilaksanakan di Kampung Teluk Bulang melibatkan 16 peserta daripada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Batas Paip, Kuala Kedah membabitkan 50 hektar sawah.

Menurutnya, pelaksanaan Projek Smart SBB turut melibatkan 50 hektar sawah lagi di Kampung Selarong Panjang melibatkan 14 peserta daripada PPK Simpang Empat Kangkong untuk musim kedua penanaman padi tahun ini.

"Setakat ini, Padiberas Nasional Berhad (Bernas) ada mengemukakan hasrat melaksanakan rancangan kerajaan itu dalam kawasan Muda namun masih dalam rundingan untuk mendapatkan keluasan dipersetujui pesawah dan PPK.

"Ini kerana MAFI (Kementerian Pertanian dan Industri Makanan) menetapkan pelaksanaan projek Smart SBB seluas 100 hektar," katanya menjawab soalan lisan Mansor Zakaria (Pas-Kuala Ketil) ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Selasa.

Tambah beliau, penetapan had keluasan itu bertujuan mengenalpasti isu dan melakukan penambahbaikan dari masa ke masa.

Katanya, Smart SBB yang menekankan konsep pengurusan tanah secara perladangan kontrak dirangka MAFI bagi mengatasi isu seperti saiz ladang tidak ekonomik dan peladang yang berusia.

Azman memberitahu, antara pihak memainkan pelaksanaan dalam program Smart SBB ialah MAFI, agensi kerajaan, syarikat peneraju dan petani atau peserta.

"Bagi peringkat kementerian, penerangan dan perbincangan bersama agensi berkepentingan telah dilaksanakan meliputi isu dasar dan kepentingan secara makro.

"Di peringkat perlaksanaan, agensi bersama syarikat peneraju akan mengadakan sesi libat urus secara berterusan bersama pesawah dan pemain industri lain bagi membincangkan prosedur kerja, perjanjian dan pelaksanaan projek," katanya.

Jelasnya, kerajaan sedar bahawa industri tanaman padi negara berhadapan dengan pelbagai isu dan cabaran dalam menjamin sekuriti makanan negara seperti saiz ladang yang tidak ekonomik, kurang penglibatan belia dan peladang berusia.

"Sehubungan itu, kaedah penanaman padi skala besar mula dilaksanakan dalam negara di bawah Projek Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) EPP 10/ Projek Pemacu Pertanian (bermula tahun 2011) di Kawasan Muda dan turut dilaksanakan di kawasan Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) lain," katanya.

Bagaimanapun katanya, pembangunan industri berkenaan ditambah baik dengan melibatkan peranan pihak swasta dalam pengurusan tanaman padi melalui Projek SMART SBB.

Beliau menerangkan model berkenaan akan mengetengahkan konsep perladangan kontrak mengikut kesesuaian setempat bertujuan meningkatkan kecekapan pengurusan ladang serta penggunaan teknologi.

Katanya, model pengurusan ladang skala besar daripada negara luar dilihat adalah efektif dari segi kos dan juga aspek pengurusan berselari dengan konsep kecekapan skala ekonomi. Justeru

"Sehubungan itu, konsep SMART SBB disuai padan model pengurusan ladang skala besar dari negara luar seperti Vietnam dan Australia dengan mengambil kira keadaan sosio-ekonomi, geografi setempat, sentimen golongan sasar dan juga penglibatan pemain industri berkaitan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!