'Pam bergerak selamatkan tanaman padi kami'

Pam bergerak menjadi penyelamat kepada petani di daerah Kerian daripada mengalami kekeringan bendang musim ini berikutan penyusutan paras air Empangan Bukit Merah. Gambar kecil dari kiri; Muhammad, Mohd Zaini dan Mohd Fauzi.
Pam bergerak menjadi penyelamat kepada petani di daerah Kerian daripada mengalami kekeringan bendang musim ini berikutan penyusutan paras air Empangan Bukit Merah. Gambar kecil dari kiri; Muhammad, Mohd Zaini dan Mohd Fauzi.
A
A
A

BAGAN SERAI - Pam bergerak menjadi penyelamat kepada petani di daerah Kerian daripada mengalami kekeringan bendang musim ini berikutan penyusutan paras air Empangan Bukit Merah.

Kemudahan disediakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) itu ditempatkan di kawasan dikenal pasti kritikal bagi tujuan pengairan di sawah.

Mohd Zaini Saarani, 65, dari Parit Haji Ali, Alor Pongsu berkata, dua minggu sebelum ini sawah padi seluas hampir 24 hektar di kawasannya dalam keadaan kering kontang kerana kekurangan air.

Menurutnya, keadaan itu mengakibatkan pokok padi yang baru ditanam kekuningan, malah di sesetengah kawasan berlaku tanah merekah.

"Air tiada, hujan pun tiada, kami petani jadi susah hati. Sebelum ini, bendang bukan nampak hijau, semua kuning. Ibaratnya anak padi hidup segan mati tidak mahu.

"Tetapi alhamdulillah, sejak ada pam ini, tanaman sawah dapat diselamatkan, semua kawasan bendang sudah peroleh air," katanya ketika ditemui pada Selasa.

Muhammad Arshad, 66, pula berkata, kemudahan pam bergerak ditempatkan di kawasan itu sejak Jumaat dan berfungsi mengepam air dari parit buang, masuk ke kawasan parit pengairan sebelum disalurkan ke kawasan sawah.

Bapa kepada pelawak, pelakon dan penyampai radio, Shuib itu memberitahu, pam berkenaan dikawal selia petani sendiri beroperasi seawal jam 7 pagi sehingga 9 malam.

"Setiap hari pam dihidupkan selama empat jam dan kemudian direhatkan satu jam sebelum disambung kembali dalam tempoh sama sehingga 9 malam.

Pesawah gembira dengan tindakan pantas JPS dan IADA dengan menempatkan pam bergerak bagi tujuan pengairan disebabkan penyusutan Empangan Bukit Merah ketika ini.
Pesawah gembira dengan tindakan pantas JPS dan IADA dengan menempatkan pam bergerak bagi tujuan pengairan disebabkan penyusutan Empangan Bukit Merah ketika ini.

"Kami bergilir-gilir membuat pemantauan bagi memastikan pam air ini berfungsi dengan baik," katanya.

Seorang lagi pesawah, Mohd Fauzi Mokhtar, 60, bersyukur dan berterima kasih atas tindakan pantas dilaksanakan JPS dan IADA dalam membekalkan pam bergerak kepada petani.

Katanya, jika berlaku kelewatan pengairan air, kemungkinan besar anak padi mati sekali gus menjejaskan hasil pendapatan dan pengeluaran padi musim ini.

"Usia pokok padi sekarang rata-rata memasuki hari ke 40, tempoh ini memang memerlukan pengairan air yang banyak bagi meningkatkan produksinya.

"Pengairan air diperlukan sekurang-kurangnya dua bulan lagi sebelum tempoh padi matang," katanya

Sementara itu, Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, sebanyak 13 pam bergerak telah ditempatkan membabitkan 10 daripada JPS dan IADA Kerian (3).

Menurutnya, kawasan pengairan yang terlibat dengan catuan ialah kompatmen E (Alor Pongsu) dan kompatmen F (Bagan Serai) yang disalurkan melalui Terusan Besar.


Pam bergerak yang ditempatkan dikawal selia petani sendiri beroperasi seawal jam 7 pagi sehingga 9 malam.
Pam bergerak yang ditempatkan dikawal selia petani sendiri beroperasi seawal jam 7 pagi sehingga 9 malam.

Jelas beliau, kompatmen G (Selinsing ) dan kompatment H (Gunung Semanggol) yang disalurkan bekalan melalui Terusan Selinsing juga turut terlibat catuan.

"Catuan itu dijalankan berdasarkan paras air di empangan, yang mengikut prosedur operasi standard Empangan Bukit Merah dan bagi kawasan yang masih menerima bekalan.

"Setakat ini hanya bekalan pengairan yang terlibat dengan catuan manakala bekalan domestik tidak terlibat dengan catuan," katanya.