X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

Isu orang politik: Niat kena betul

Perak FC jatuh ke saingan Liga Premier musim depan selepas menduduki tangga kedua tercorot Liga Super musim ini. -Foto Perak FC
A
A

ISU sama ada ‘orang politik’ atau bukan ‘orang politik’ yang harus dipersalahkan ekoran kegagalan sesebuah pasukan bola sepak itu tidak seharusnya menjadi satu polemik besar.

Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, mana-mana pihak atau individu yang telah dipilih menerajui persatuan atau pasukan sudah tentu mempunyai karisma tersendiri.

Malah, beliau memberitahu, ‘orang politik’ sememangnya telah lama terlibat dalam arena bola sepak Malaysia sehingga menyaksikan skuad kebangsaan layak ke Sukan Olimpik Munich 1972 dan Sukan Olimpik Moscow 1980.

“Pada saya tak kiralah sama ada ‘orang politik’ atau tidak, yang penting individu itu mestilah benar-benar berminat dalam bola sepak. Kalau orang politik, tetapi dia berminat dengan bola sepak, apa salahnya?

“Maksud saya, minatnya itu membuatkan dia meletakkan hati dan rohnya terhadap bola sepak. Kalau setakat minat sebab nak populariti, memang tak jadilah. Perkara ini kalau niat itu tak betul, memang tak jadilah.

“Bagi saya, tak timbul masalah ‘orang politik’ atau tidak kerana yang penting minat. Jadi tidak betul kalau ada penyokong yang menyalahkan 100 peratus ‘orang politik’ jika sesebuah pasukan itu jatuh.

“Lihat (Menteri Belia dan Sukan) Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. Beliau bekas Menteri Besar Perak dan pernah menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA).

“Bila beliau tidak lagi pimpin PAFA, apa jadi dengan Perak. Itulah masalahnya dan bukan sebab ‘orang politik’ semata-mata,” katanya kepada Sukan Sinar baru-baru ini.

Terdahulu, penyokong bola sepak Perak menggesa kesemua ahli politik dalam PAFA dan juga pengurusan Perak FC melepaskan jawatan masing-masing.

Ia susulan kejatuhan prestasi Perak FC yang akan beraksi dalam saingan Liga Premier musim depan buat kali pertama sejak 31 tahun lalu apabila berada di tangga kedua tercorot Liga Super musim ini.

“Dalam menguruskan sesebuah persatuan atau pasukan itu, individu berkenaan kena ada pengaruh untuk dapatkan dana. Ia bukan sesuatu yang mudah untuk diperoleh melainkan ada pengaruh, kalau setakat bekas pemain, siapa nak pandang?

“Kalau ‘orang politik’, beliau mungkin ada pengaruh. Saya lebih melihat ‘orang politik’ mampu menarik minat pihak penaja tetapi itu tidak bermakna, individu bukan ahli politik tidak boleh mendapatkan dana,” ujarnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!