Bekas pelumba MotoGP dakwa Ducati bukan pengeluar Itali sebenar

BEKAS juara dunia enam kali MotoGP, Max Biaggi mendakwa Aprilia merupakan satu-satunya pengeluar Itali sebenar dalam kejuaraan MotoGP.
Sebaliknya, pelumba kelahiran Rom, Itali itu berkata, Ducati sebenarnya “pengeluar Jerman” susulan pemilikannya oleh Audi.
Biaggi, 54, yang menikmati kerjaya cemerlang dalam Grand Prix (GP) dari 1991 hingga 2005, dikenali sebagai antara pelumba terbaik kelas 250cc sepanjang zaman.
Beliau meraih empat kejuaraan dunia 250cc antara 1994 hingga 1997 sebelum melangkah ke kelas perdana pada 1998 dan terus mencipta kemenangan sulung di Jepun bersama Honda.
Sepanjang karier MotoGP, Biaggi menjadi antara pencabar utama Valentino Rossi dan mengumpul 13 kemenangan di kelas perdana, sebelum mencipta kejayaan dalam World Superbike dengan menjuarai kejuaraan pada 2010 dan 2012.
Kini, beliau berperanan sebagai duta Aprilia.
Dalam satu temu bual bersama TNT Sport, Biaggi menyifatkan hubungannya dengan Aprilia sebagai satu penghormatan, sambil menyelitkan sindiran terhadap Ducati.
“Saya sudah hampir 10 tahun menjadi duta Aprilia dan ia satu keistimewaan besar untuk dikaitkan dengan pengeluar ini.
“Secara jujurnya, ia satu-satunya pengeluar Itali di paddock kerana kita semua tahu Ducati adalah milik Jerman susulan pemilikan Audi,” kata Biaggi.
Walaupun Ducati dimiliki Audi sejak 2012, jenama itu masih beroperasi dari pangkalannya di Borgo Panigale, Itali.
Ducati turut menikmati salah satu musim paling berjaya dalam sejarah MotoGP tahun lalu dengan memenangi 17 daripada 22 perlumbaan GP.
Pengeluar itu menyapu bersih ketiga-tiga kejuaraan dunia, dengan Marc Marquez muncul juara mutlak selepas meraih 11 kemenangan GP dan 14 kemenangan perlumbaan pecut.
Ducati juga tidak pernah tewas dalam kejuaraan dunia sejak Pecco Bagnaia memenangi gelaran pertamanya pada 2022.
Aprilia, bagaimanapun mencatat musim terbaik mereka dalam MotoGP tahun lalu, apabila muncul sebagai pencabar paling hampir kepada Ducati.
Pasukan dari Noale, Itali itu meraih tiga kemenangan melalui Marco Bezzecchi dan satu lagi menerusi pelumba Trackhouse, Raul Fernandez, selain menamatkan musim sebagai naib juara pengeluar.
Dalam temu bual sama, Biaggi turut memuji jentera Aprilia.
“Kini motosikal ini tidak mempunyai kelemahan. Tiada lagi litar yang menakutkan kami.
“Kami sentiasa mampu berada dalam kelompok tiga atau lima terbaik, dan bukan hanya bersama Marco Bezzecchi.
“Raul Fernandez juga membuktikan jentera ini berfungsi dengan baik bersama pelbagai pelumba,” katanya.
Aprilia dijadualkan melancarkan musim MotoGP 2026 mereka pada 15 Januari di Milan.
Perlumbaan pertama MotoGP 2026 dijadualkan berlangsung pada 1 Mac di Litar Antarabangsa Buriram, Thailand.
Ringkasan AI
- Max Biaggi menganggap Aprilia sebagai satu-satunya pengeluar Itali sebenar dalam MotoGP kerana Ducati dimiliki oleh Audi
- Biaggi meraih empat kejuaraan dunia kelas 250cc dan menjadi pesaing utama Valentino Rossi dalam karier MotoGP
- Biaggi kini bertindak sebagai duta Aprilia dan memuji prestasi jentera mereka dalam MotoGP
- Walaupun dimiliki Audi, Ducati masih beroperasi dari Itali dan menikmati musim berjaya dengan memenangi ketiga-tiga kejuaraan dunia MotoGP baru-baru ini
- Aprilia mencatat musim terbaik mereka tahun lalu sebagai pencabar Ducati dan meraih tiga kemenangan serta tempat kedua dalam kejuaraan pengeluar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

