United perlukan jurulatih fokus pada hasil bukan gaya

MANCHESTER United sekali lagi mencatat keputusan mengecewakan apabila tewas 1-2 kepada Brighton & Hove Albion pada pusingan ketiga Piala FA di Old Trafford pada Isnin.
Kekalahan tersebut mencerminkan jurang sebenar antara aspirasi kelab dan prestasi sebenar di atas padang.
Selepas perlawanan, Darren Fletcher yang bertindak selaku pengurus interim tidak menyembunyikan pandangannya terhadap arah taktikal kelab.
Menurut Fletcher, United kini memerlukan jurulatih yang berfokus kepada keputusan bukannya terlalu menekankan gaya atau formasi tertentu.
Beliau menegaskan, pendekatan yang terlalu yakin dengan satu gaya boleh menyukarkan penyesuaian dan menjejaskan peluang kemenangan.
“Jurulatih yang terlalu percaya pada gaya sendiri akan sukar menyesuaikan diri.
“Anda mahu bermain bola sepak menarik tetapi perkara pertama ialah mencari cara untuk menang.
“Ia mungkin tidak selalu kelihatan cantik, tetapi daripada situ anda boleh membina momentum dan kemudian permainan pantas serta keputusan positif boleh terhasil,” kata Fletcher.
Kekalahan kepada Brighton menyaksikan United terus bergelut mencari keseimbangan antara taktikal dan keputusan.
Menurut data Opta, ini merupakan kali pertama United tersingkir daripada kedua-dua piala domestik (Piala FA dan Piala Liga Inggeris) pada peluang pertama sejak musim 1981-82, iaitu kali terakhir berlaku 44 tahun lalu.
United turut berdepan satu lagi rekod memalukan apabila bakal mengharungi musim ini dengan jumlah perlawanan paling sedikit sejak sebelum Perang Dunia Pertama.
Pasukan itu dijangka hanya beraksi dalam 40 perlawanan dalam semua kejohanan musim ini, jumlah terendah sejak musim 1914-15.
Statistik berkenaan tidak mengambil kira musim yang terjejas akibat peperangan.
Ringkasan AI
- Manchester United tewas 1-2 kepada Brighton & Hove Albion di Piala FA
- Kekalahan mencerminkan jurang antara aspirasi dan prestasi kelab
- Darren Fletcher mencadangkan perlu jurulatih yang fokus keputusan bukan gaya
- Kekalahan kepada Brighton tunjuk United bergelut cari keseimbangan taktikal dan keputusan
- Ini kali pertama United tersingkir daripada kedua-dua piala domestik pada peluang pertama sejak musim 1981-82
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

