Lebih banyak hospital medan diperlukan


Guan eng
Guan eng
A
A
A

GEORGETOWN - Lebih banyak hospital medan perlu dibuka di Pulau Pinang bagi menampung peningkatan kes Covid-19 di negeri ini, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) di Pulau Pinang kini mencapai 96.6 peratus iaitu kedua tertinggi di negara ini.

Justeru, beliau mencadangkan supaya Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar meneliti keperluan membina lebih banyak hospital medan dengan lebih banyak katil ICU, di kawasan-kawasan panas Covid-19 seperti Seberang Jaya, Nibong Tebal dan Balik Pulau.

“Rakyat Pulau Pinang sangat menghargai pembinaan segera hospital medan dengan 96 katil biasa dan empat katil ICU di lapangan parkir Hospital Besar Pulau Pinang oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Bagaimanapun, Khairy patut menimbangkan untuk membina lebih banyak hospital medan ekoran penggunaan katil ICU yang semakin mencecah kapasiti penuh,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Pada 11 September lepas, Khairy berkata, sebuah hospital medan akan dibina di kawasan parkir hospital awam berkenaan bagi menampung lebih ramai pesakit Covid-19 di negeri ini.

ATM memulakan pembinaan hospital itu pada 16 September lepas dengan 23 khemah didirikan di atas kawasan seluas 2,300 meter persegi dan dijangka beroperasi tidak lama lagi.

Sementara itu, Guan Eng turut mencadangkan Khairy untuk memanfaatkan dana tambahan RM5 bilion yang diperuntukkan kepada Kementerian Kesihatan.

Artikel Berkaitan:

Menurut Guan Eng dana itu adalah sebahagian dana suntikan berjumlah RM45 bilion bagi menangani Covid-19 dan kemerosotan ekonomi dalam Memorandum Persefahaman antara Kerajaan Persekutuan dengan Pakatan Harapan pada 13 September lepas.

Beliau berkata, peruntukan RM5 bilion itu boleh membantu, bukan sahaja untuk menjalankan ujian saringan besar-besaran, tetapi juga meningkatkan sumber manusia dengan mengambil doktor kontrak sebagai kakitangan tetap serta menambah baik perkhidmatan sokongan kesihatan. - Bernama