Telehealth bantu penduduk Pulau Pinang kuarantin kendiri di rumah

Perkhidmatan tele-kesihatan ini akan memudahkan pesakit Covid-19 menjalani kuarantin di rumah untuk mendapatkan khidmat nasihat doktor setiap hari. - Foto 123RF
Perkhidmatan tele-kesihatan ini akan memudahkan pesakit Covid-19 menjalani kuarantin di rumah untuk mendapatkan khidmat nasihat doktor setiap hari. - Foto 123RF
A
A
A

GEORGE TOWN - PgCare Alliance telah melancarkan perkhidmatan tele-kesihatan (Telehealth) untuk penduduk Pulau Pinang yang sedang menjalani kuarantin kendiri di rumah selepas diuji positif Covid-19.

Timbalan Pengerusinya, Yeoh Soon Hin pada Jumaat berkata, perkhidmatan tele-kesihatan itu akan menawarkan penjagaan secara maya dengan doktor bertauliah menerusi panggilan video atau telefon.

Perkhidmatan tele-kesihatan adalah tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama PgCare dan DoctorTouch dan ia adalah perkhidmatan tele-kesihatan awam pertama di Malaysia, katanya pada sidang media secara maya di sini pada Jumaat.

Perkhidmatan tele-kesihatan ini akan memudahkan pesakit Covid-19 menjalani kuarantin di rumah untuk mendapatkan khidmat nasihat doktor setiap hari antara jam 9 pagi hingga 10 malam sama ada dalam bahasa Inggeris, Malaysia atau bahasa Cina,” katanya.

Beliau juga berkata, Pgcare Alliance akan memberikan subsidi RM5 untuk bayaran rundingan kepada mereka yang layak.

“Mereka yang ingin menggunakan perkhidmatan tele-kesihatan boleh mendaftar di www.doctortouch.com/pgcare dan menyediakan gambar surat kuarantin atau surat perintah pemerhatian dan pengawasan di rumah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif DoctorTouch Chan Eu Jin berkata, perkhidmatan perundingan tele-kesihatan itu juga menyediakan preskripsi elektronik jika pesakit Covid-19 memerlukan ubat-ubatan.

Beliau berkata, DoctorHealth bekerjasama dengan BIG Pharmacy untuk membolehkan ia menerima e-preskripsi dan menghantar ubat-ubatan ke rumah pesakit.

Artikel Berkaitan:

“Kedai farmasi akan menghubungi pesakit untuk mengesahkan ubat-ubatan dan mengatur pembayaran secara dalam talian sebelum pesanan dihantar ke alamat rumah pesakit dalam tempoh dua jam,” katanya.

Beliau berkata, terdapat dua cawangan BIG Pharmarcy di Pulau Pinang iaitu di Jelutong dan Pulau Tikus.

PgCare Alliance adalah sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang ditubuhkan oleh pertubuhan dan institusi bukan kerajaan untuk menangani keperluan jangka pendek dan jangka panjang yang berkaitan dengan kesihatan mental, bantuan makanan dan pekerjaan, ekoran pandemik Covid-19. - Bernama