Labuan hadapi isu kekurangan bekalan telur di pasaran

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

LABUAN - Kedai-kedai runcit di seluruh pulau bebas cukai ini berhadapan isu kekurangan bekalan telur ekoran para pembekal di Sabah mengurangkan kuota bekalan mingguan kepada bulanan.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Labuan, Dr Marysia James Abie berkata, kekurangan bekalan yang berlarutan hampir dua minggu itu adalah berikutan arahan JPV Sabah kepada pengeluar telur tempatan (ladang ternakan ayam) untuk mengurangkan jumlah eksport sejak 20 Ogos lepas.

“Bekalan telur di Sabah berkurangan ekoran permintaan pengguna domestik yang melebihi pengeluaran,” katanya kepada Bernama pada Khamis.

Dr Marysia berkata, ekoran arahan itu, jumlah dieksport telur ke Labuan telah berkurangan daripada 500,000 biji seminggu ke 500,000 biji sebulan.

“Isu ini hanya sementara sahaja kerana kita telah menghubungi rakan kita di Sabah bagi membantu menyelesaikan masalah ini dan kita diberitahu bahawa ladang-ladang ternakan ayam di sana sedang meningkatkan pengeluaran,” katanya.

Dr Marysia berkata, penyelesaian lain adalah untuk membenarkan eksport telur dari Sarawak dan Semenanjung ke pulau ini.

“Kita menjangkakan bekalan akan kembali normal dalam masa satu atau dua minggu akan datang, kita berharap pengguna dapat memahami situasi ini, kita akan memainkan peranan untuk menyelesaikan kekurangan bekalan ini,” katanya.

Bernama dimaklumkan bahawa bekalan telur menyusut di Sabah berikutan pandemik Covid-19 yang menyebabkan ramai orang memilih untuk kerap memasak sekali gus mencetuskan pembelian panik.

Artikel Berkaitan:

Kebanyakan pihak pengusaha ladang ternakan ayam mengakui pandemik adalah faktor yang mempengaruhi keputusan orang ramai untuk menjadi lebih mandiri dalam penyimpanan sumber makanan. - Bernama