Dilarang mengajar agama secara bersemuka jika enggan divaksin

Halim
Halim
A
A
A

MELAKA - Melaka menetapkan guru agama, guru takmir bertauliah dan pengkuliah yang lengkap dua dos vaksin sahaja dibenarkan meneruskan pengajian di masjid dan surau di negeri ini secara bersemuka.

Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, ketetapan itu dimuktamadkan dalam mesyuarat bersama Jawatankuasa Covid-19 Melaka pada minggu lalu, sekali gus melarang mereka yang masih belum lengkap menerima vaksin untuk meneruskan tugasan.

Beliau berkata, ketika ini terdapat kira-kira 600 daripada 1,300 guru agama bertauliah yang aktif di negeri ini.

Menurutnya, pihaknya sedang mengenal pasti mereka yang enggan divaksin sebelum mengambil sebarang tindakan termasuk kemungkinan menamatkan tauliah yang diberikan.

"Pihak lembaga masjid dan surau akan menyemak rekod vaksinasi tenaga pengajar melalui aplikasi MySejahtera untuk memastikan mereka mengambil vaksin, kecuali mereka yang mempunyai masalah kesihatan dan disahkan Kementerian Kesihatan Malaysia Malaysia (KKM).

"Ini penting bagi memastikan mereka yang menjadi contoh dan ikutan kepada masyarakat tidak termasuk dalam kumpulan antivaksin," katanya pada program Penyerahan Foodbank Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Kotak Makanan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di Masjid Al-Wahhab Permatang Duyong di sini pada Khamis.

Halim berkata, ketetapan itu turut terpakai kepada jawatankuasa masjid dan surau seperti imam, bilal dan noja, serta guru sekolah agama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

"Perkara itu mengambil kira kepentingan awam. Kita juga mensyaratkan agar semua pengerusi lembaga masjid serta surau untuk mendapatkan maklumat guru-guru yang mengajar," katanya.

Artikel Berkaitan: