Selangor benar guna pembesar suara luar surau, masjid

Titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada 23 Oktober 2017. Mohd. Shahzihan
Titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada 23 Oktober 2017. Mohd. Shahzihan
A
A
A

SHAH ALAM - Kegunaan pembesar suara hanya dibenarkan kepada laungan azan, iqamah dan bacaan ayat al-Quran sebelum masuk waktu solat selaras dengan arahan dikeluarkan sejak enam tahun lalu.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, perkara itu dikeluarkan selaras titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada 23 Oktober 2017.

JAIS menyambut titah Sultan Sharafuddin dengan mengeluarkan arahan kepada pentadbir masjid dan surau seluruh negeri bahawa penggunaan pembesar suara hanya dibenarkan kepada laungan azan, iqamah dan bacaan ayat al-Quran sebelum masuk waktu solat.

Beliau berkata, Sultan Selangor dengan jelas menitahkan bahawa penggunaan pembesar suara untuk ceramah dan kuliah hendaklah dihadkan di dalam ruang atau dewan masjid dan surau sahaja.

"Kuliah, ceramah dan tazkirah tidak dibenar guna speaker (pembesar suara) luar kecuali azan, iqamah dan bacaan ayat-ayat al-Quran dan titah ini berkuat kuasa untuk dipatuhi semua pentadbir masjid surau seluruh Selangor," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau mengulas saranan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) agar semua negeri untuk mewartakan penggunaan pembesar suara di luar surau atau masjid untuk azan dan iqamah sahaja.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan dilaporkan berkata, dari sudut undang-undang tindakan tersebut adalah perlu dalam usaha memelihara keharmonian antara kaum di negara ini.

Bagaimanapun tegas beliau, ia juga perlu selari dengan usaha memastikan semua pihak saling memahami dan menghormati Islam sebagai agama Persekutuan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Isu penggunaan pembesar suara di luar surau atau masjid menarik perhatian apabila video mesyuarat Badan Pengurusan Bersama (JMB) di sebuah kondominium di Tanjong Tokong di Pulau Pinang, yang mengaitkan isu penggunaan pembesar suara bagi laungan azan oleh sebuah surau berhampiran kejiranan berkenaan tular di media sosial.

Video berkenaan memaparkan kekecohan timbul apabila penduduk beragama Islam membuat bantahan apabila isu laungan azan diusulkan.

Bagaimanapun, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor dilaporkan berkata, pihaknya difahamkan Pejabat Agama Daerah Timur Laut sudah berbincang dengan JMB dan pihak pengurusan surau terbabit yang mana beberapa persetujuan sudah dicapai.

Di Pulau Pinang, penggunaan pembesar suara di luar surau atau masjid di Pulau Pinang dibenarkan untuk azan dan iqamah sahaja seperti mana diputuskan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang bertarikh 1 hingga 2 Julai 2015 dan disahkan pada 23 hingga 24 Ogos 2015.