Projek tambak laut: Pulau Pinang fail semakan kehakiman

Projek PSR yang akan dicadang akan dibangunkan di bahagian selatan Pulau Pinang. (Gambar kecil: Zairil)
Projek PSR yang akan dicadang akan dibangunkan di bahagian selatan Pulau Pinang. (Gambar kecil: Zairil)
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan negeri Pulau Pinang akan memfailkan semakan kehakiman ke atas keputusan Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang mengetepikan kelulusan terhadap Laporan Impak Alam Sekitar (EIA) untuk Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR).

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, keputusan itu dibuat dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang pada Rabu.

Dalam masa sama, katanya, kerajaan negeri akan memulakan proses mengemukakan semula laporan EIA kepada JAS agar projek yang kritikal bagi pemulihan ekonomi negeri ini pada zaman pasca Covid-19 dapat diteruskan bagi kemaslahatan rakyat.

"Kerajaan negeri akan memohon semakan kehakiman ke atas keputusan Lembaga Rayuan JAS kerana membatalkan kelulusan EIA bagi PSR. Kerajaan negeri mengambil maklum bahawa keputusan tersebut adalah berasaskan kepada ketidakpatuhan proses perancangan semata-mata dan bukannya atas hujah-hujah substantif (merits of the case).

"Menurut keputusan bertulis Lembaga Rayuan, laporan EIA tersebut didapati tidak memenuhi kehendak Seksyen 34A(4)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030 (RSN2030) dianggap belum lagi berkuat kuasa pada ketika kelulusan EIA diberi," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Zairil berkata, kerajaan negeri tidak bersetuju dengan keputusan Lembaga Rayuan JAS dan berpendapat bahawa segala proses dan tatacara perancangan serta kelulusan yang perlu telah dipatuhi.

"Ini termasuk kelulusan RSN2030 oleh Pihak Berkuasa Negeri melalui Jawatankuasa Perancang Negeri (SPC) pada 14 Mac 2019 serta pembentangan kepada Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) pada 18 April 2019.

"Kedua-dua pematuhan ini dianggap memadai bagi kehendak Seksyen 34A(4)(a) yang menetapkan bahawa projek tersebut hendaklah selari dengan 'rancangan pembangunan atau rancangan fizikal yang diluluskan oleh pihak berkuasa yang meluluskan'.

Artikel Berkaitan:

"Oleh demikian, kelulusan yang diberikan Ketua Pengarah JAS pada 15 Jun 2019 tidak bercanggah sama sekali dengan keperluan-keperluan akta," jelas beliau.

Minggu lalu, Lembaga Rayuan JAS mengetepikan kelulusan Ketua Pengarah JAS yang memberi kelulusan EIA untuk PSR.

Keputusan itu dibuat oleh tiga anggota Lembaga Rayuan JAS yang diketuai Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayub dan pakar alam sekitar, Profesor Datuk Dr Mazlin Mokhtar daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Profesor Madya Dr Ramdzani Abdullah daripada Universiti Putra Malaysia (UPM).

Keputusan Lembaga Rayuan JAS itu menyaksikan kelulusan EIA bagi projek berkenaan yang diperoleh pada 25 Jun 2019 adalah terbatal dan tidak lagi sah.