Kertas siasatan isu misi kemanusiaan Ebit Lew dirujuk ke Bukit Aman

Gambar kecil: Ashari
Gambar kecil: Ashari
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kertas siasatan berkaitan isu misi kemanusiaan pendakwah, Ebit Lew di Semenanjung Gaza, Palestin telah diserahkan ke Bukit Aman.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, kertas siasatan sudah diserahkan ke Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman untuk penelitian lanjut.

"Kertas siasatan itu telah lengkap dan dirujuk ke Bukit Aman untuk tindakan selanjutnya, sebelum ia diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP).

"Kertas siasatan itu perlu diteliti kerana ia melibatkan kes berprofil tinggi, sekiranya ada kelemahan kita akan perbaiki kertas siasatan berkenaan," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis pelupusan barang kes di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju.

Ashari berkata, setakat ini tiada keperluan untuk memanggil penyanyi rap, Ariz Ramli atau Caprice untuk dirakam keterangan selepas dia pulang ke Malaysia.

"Setakat ini tiada keperluan merakam keterangannya (Caprice) secara bersemuka, namun jika ada arahan terkini, kita akan memanggilnya," jelas beliau.

Pada 21 Ogos lalu, media melaporkan, Polis Diraja Malaysia telah memohon bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk berhubung dengan Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dan Caprice.

Ashari memberitahu, tindakan tersebut susulan laporan yang dibuat oleh pendakwah, Ebit Lew di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 21 Julai lalu.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, Ebit Lew membuat laporan polis selepas menerima tuduhan yang tidak berasas oleh beberapa individu ketika menyertai misi kemanusiaan di Gaza, Palestin baru-baru ini.

Susulan itu, pada 2 September lalu, polis mengambil keterangan Caprice dan Muhammad Nadir menerusi e-mel.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 500 serta 504 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.