Bau busuk di Seelong dipercayai akibat pembuangan bahan kimia

Yahaya (depan) melakukan tinjauan di Sungai Tawakal yang mengalami pencemaran bahan kimia.
Yahaya (depan) melakukan tinjauan di Sungai Tawakal yang mengalami pencemaran bahan kimia.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Misteri bau busuk di Kampung Baru Sri Aman, Seelong dekat Kempas di sini terjawab selepas ujian dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mendapati berlaku pembuangan bahan kimia di dalam tali air dan Sungai Tawakal di kampung berkenaan.

Pengarah JBPM Johor, Datuk Yahaya Madis berkata, terdapat dua sisa buangan industri yang dikesan pihaknya selepas ujian menggunakan peralatan khas bomba Gas Mate dilakukan anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Kempas dan Melaka.

Menurutnya, pencemaran kimia terbabit dikesan dari jenis methyl alcohol serta metanol yang dipercayai mengalir ke tali air dan sungai di kampung terbabit sejak malam Selasa.

"Ketika tiba di lokasi berkenaan terdapat bau dan empat wanita yang merupakan penduduk di sini mengalami sesak nafas. Bomba segera menyelamatkan wanita yang sesak nafas.

"Anggota yang melakukan pemeriksaan di sepanjang satu kilometer tali air Sungai Tawakal mendapati terdapat kesan tompokan dua sisa buangan kimia itu terlekat di permukaan selain kawasan tebing rumput di situ," katanya pada sidang akhbar di Kampung Baru Sri Aman di sini pada Rabu.

Anggota bomba memantau keadaan di Kampung Baru Sri Aman.
Anggota bomba memantau keadaan di Kampung Baru Sri Aman.

Menurut Yahaya, bomba bertindak pantas dengan membuat pengepungan di kawasan tali air menggunakan 'oil boom' bagi menyekat sisa buangan itu terus mengalir.

"Sisa buangan berkenaan kelihatan seperti minyak hitam dan berbau busuk.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai tindakan susulan, seramai 102 penduduk daripada 25 keluarga yang tinggal dalam lingkungan satu kilometer dari tali air dan sungai berkenaan dipindahkan ke Balai Raya Kampung Sinaran Baru," katanya.

Sementara itu, Yahaya berkata, empat wanita yang mengalami sesak nafas dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi rawatan kecemasan pada malam Selasa.

Menurutnya, keadaan di lokasi kejadian pada pagi Rabu kembali terkawal selepas bau busuk pencemaran kimia berkenaan hilang.

Katanya, penduduk juga dibenarkan kembali ke rumah menjelang petang Rabu, namun pemantauan berterusan akan dilakukan 40 anggota bomba yang ditugaskan di sini.