Warga Jepun tidak perlu gusar

Mohd Shuhaily
Mohd Shuhaily
A
A
A

GEORGETOWN - Warga Jepun yang tinggal di Pulau Pinang tidak perlu gusar berhubung amaran kepada rakyat negara itu di Malaysia mengenai kemungkinan berlaku serangan pengganas di kawasan tumpuan ramai di beberapa negara Asia Tenggara.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, bagaimanapun, Polis Pulau Pinang telah meningkatkan pemeriksaan dan pemantauan rapi di syarikat, premis dan lokasi yang ada hubung kait dengan kepentingan luar negara terutama Jepun di negeri ini.

"Sebenarnya keadaan terkawal dan tahap ancaman tidak wujud pun berhubung perkara tersebut, namun kami ambil langkah tingkatkan pemantuan rapi. Warga Jepun di sini tak perlu bimbang," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada Selasa.

Pada Isnin, media melaporkan Kedutaan Jepun di Kuala Lumpur mengesahkan telah mengeluarkan amaran kepada rakyatnya di Malaysia mengenai kemungkinan berlaku serangan pengganas di rumah ibadat dan kawasan tumpuan ramai di beberapa negara Asia Tenggara.

Menurut laporan media, Kementerian Luar Jepun telah menasihatkan semua rakyatnya di Indonesia, Filipina, Singapura, Malaysia, Thailand dan Myanmar untuk mengelak berada berdekatan dengan kemudahan keagamaan dan kawasan-kawasan sesak lain.

Amaran itu memetik laporan perisikan dan kemungkinan terdapat serangan ke atas rumah ibadat dan tempat perhimpunan besar-besaran di rantau ini.

Terdapat kira-kira 31,000 warga Jepun tinggal di Malaysia.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai video tular membabitkan penyerahan bantuan di Pejabat Parti Gerakan di Jalan Macalister yang dipenuhi orang ramai, Mohd Shuhaily berkata, pihak polis mendapati tiada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) ketika penyerahan itu dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, katanya, pihak polis menasihatkan mana-mana pihak yang ingin menyalurkan bantuan kepada orang ramai agar bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Ini adalah untuk menyelaraskan bantuan yang diperoleh kerana JKM mempunyai rekod lengkap berkaitan mereka yang layak untuk mendapat bantuan," katanya.