Sinovac berkesan terhadap varian Delta

Vaksin CoronaVac keluaran Sinovac Biotech Ltd berkesan terhadap varian Delta. (Gambar kecil: Dr Ajit Pal Singh)
Vaksin CoronaVac keluaran Sinovac Biotech Ltd berkesan terhadap varian Delta. (Gambar kecil: Dr Ajit Pal Singh)
A
A
A

SATU kajian penyelidikan yang dilakukan bagi mengkaji 2 dos vaksin Covid-19 untuk Sindrom Pernafasan Akut Teruk Koronavirus 2 (SARs-CoV-2) di Guangzhou, China baru-baru ini terbukti berkesan terhadap varian Delta yang boleh mengancam nyawa di seluruh dunia.

Pakar epidemiologi di Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Guangzhou, Zhong Nanshan mendapati 2 dos vaksin mencapai 59 peratus efikasi (6 daripada 10 pesakit) menentang varian Delta; 70.2 peratus efikasi (7 daripada 10 pesakit) dalam kategori penyakit respiratori sederhana dan 100 peratus efikasi terhadap kes teruk.

Ini bermakna vaksin lebih berkesan terhadap Covid-19 pada tahap sederhana berbanding Covid-19 ringan.

Berdasarkan maklumat tersebut, hasil kajian didapati melebihi nilai ambang efikasi 50 peratus sepertimana yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi mana-mana vaksin.

Kajian dilakukan terhadap 628 peserta yang meliputi 153 pesakit varian Delta Covid-19 dan 475 kontak rapat kes di bandar tersebut yang berusia 18 hingga 59 tahun.

Didapati 10 pesakit adalah tahap kritikal, 6 bergejala teruk, 105 bergejala sederhana manakala 32 lagi bergejala ringan.

Bagi mengkaji keberkesanan menentang varian Delta, pengkaji memilih dua jenis vaksin yang terhasil dari sebahagian atau keseluruhan struktur virus yang telah dimatikan atau dilemahkan untuk diberikan kepada pesakit, iaitu vaksin CoronaVac keluaran Sinovac Biotech Ltd dan vaksin SARS-CoV-2 keluaran China National Biotec Group.

Keberkesanan vaksin ditentukan menerusi rekabentuk kajian kawalan kes (ujian negatif) iaitu kaedah popular bagi menilai efikasi vaksin. Ia juga digunapakai dalam program vaksinasi secara besar-besaran di tanah besar China.

Artikel Berkaitan:

Tahap jangkitan Covid-19 ditentukan berdasarkan pemerhatian terhadap pesakit. Pesakit yang tidak mempunyai simptom luaran diklasifikasikan sebagai pesakit Covid-19 tanpa gejala.

Bagi pesakit yang mengalami gejala pernafasan seperti demam dan mempamerkan simptom yang menyerupai pneumonia pula dikategorikan sebagai pesakit Covid-19 sederhana.

Pesakit dengan indeks oksigenasi <300 mmHg, ketepuan oksigen pada waktu rehat <93%, dan kadar pernafasan >30/min pula dikategorikan sebagai teruk.

Bagi pesakit yang mengalami kegagalan pernafasan dan memerlukan bantuan pernafasan mekanikal, kejutan atau kegagalan organ lain serta perlu menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), diklasifikasikan sebagai pesakit Covid-19 yang kritikal.

Kajian mendedahkan pesakit dengan suntikan sekurang-kurangnya satu dos vaksin menunjukkan tahap perlindungan terhadap penyakit Covid-19. Keberkesanan vaksin satu dos ialah 13.8 peratus.

Kajian juga mendapati kesemua 16 kes Covid-19 yang kritikal dan teruk masih belum menerima vaksin SARS-CoV-2.

Saintis menemukan keberkesanan vaksin lebih tinggi terhadap golongan wanita dan dalam lingkungan usia 40-59 tahun (dengan kadar keberkesanan 72.5 peratus) jika dibandingkan dengan lelaki dan bagi mereka yang mempunyai penyakit Covid-19 sederhana.

Ini menunjukkan keperluan untuk mempertingkatkan vaksinasi terhadap golongan wanita dan warga emas dalam program vaksinasi secara berterusan.

Hasil kajian ini penting dan bermanfaat bagi negara yang berhadapan dengan kekurangan bekalan vaksin untuk membuat polisi yang disokong dengan penemuan berdasarkan kajian saintifik.

Ia menyaksikan keperluan seorang individu mendapatkan perlindungan dua dos vaksin terlebih dahulu sebelum berlakunya gelombang wabak baharu.

* Artikel ini ditulis oleh Dr Ajit Pal Singh Raina, Pakar Vaksin Pharmaniaga Berhad. Penulis merupakan doktor terlatih dengan ijazah sarjana dalam Kesihatan Awam dan ijazah kedoktoran dalam Epidemiologi Penyakit Berjangkit dengan lebih 20 tahun pengalaman dalam industri biofarmaseutikal terutamanya vaksin.

Sehingga hari ini, Dr Ajit telah menjalankan banyak kajian klinikal di Asia, Afrika dan Amerika Selatan yang memperolehi kelayakan/kelulusan vaksin daripada WHO. Penulis menghasilkan penerbitan dalam jurnal vaksin terkemuka seperti Lancet, NEJM dan Human Vaccines.