Projek KXP: Ahli PKR serah dokumen gesa seorang pemimpin disiasat

Indrani ketika ditemui Sinar Harian selepas menyerahkan dokumen kepada SPRM pada Jumaat.
Indrani ketika ditemui Sinar Harian selepas menyerahkan dokumen kepada SPRM pada Jumaat.
A
A
A

PUTRAJAYA - Seorang Ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sungai Siput, Perak menyerahkan 13 dokumen kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa ada kaitan dengan penyalahgunaan kuasa seorang pemimpin.

Indrani Selvakumar mendakwa, dokumen tersebut antaranya mengandungi notis daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) seorang penama bergelar Tan Sri yang dipercayai pemaju bagi projek Lapangan Terbang Kulim (KXP).

"Dokumen ini diposkan ke alamat saya dan semakan saya menerusi LHDN mendapati terdapat kes melibatkan Tan Sri berkenaan sehingga akaun peribadi dan syarikatnya dibekukan," katanya kepada Sinar Harian di Ibu Pejabat SPRM pada Jumaat.

Beliau berkata, sebagai seorang pemimpin negeri, dia sepatutnya membuat semakan terhadap individu tersebut sebelum memberikan projek pembangunan kepada syarikat berkenaan.

"Kalau saya orang biasa pun boleh semak, You (pemimpin terbabit) bagi projek berbilion ringgit, you mesti check.

"Saya rasa beliau (pemimpin) melakukan penyalahgunaan kuasa dan tadi SPRM memberi maklum balas akan melakukan siasatan," katanya.

Tambahnya, satu laporan polis turut dibuat terhadap pemimpin terbabit di Puchong pada Khamis.

"Bagaimanapun polis berkata pihaknya tidak mempunyai bidang kuasa dan meminta laporan dibuat kepada SPRM," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pembinaan KXP dijangka siap sepenuhnya pada 2026 selepas kerajaan Persekutuan sekali lagi pada Oktober tahun lalu meluluskan pembinaan projek terbabit.

Projek pembinaan itu pernah diluluskan kerajaan pada Mac 2019 lalu namun Kementerian Pengangkutan pada Ogos 2020 mengumumkan penangguhan semua projek naik taraf dan pembinaan lapangan terbang baharu termasuk KXP.

Pada 24 Februari lalu, ECK Group of Companies (ECK) mengumumkan dilantik kerajaan Kedah bagi menyertai usahasama membangunkan projek berkenaan bermula daripada urusan pembinaan sehingga pentauliahan lapangan terbang itu.