Keputusan warta semula HSKLU bukti Selangor dengar keluhan rakyat

Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan kerajaan negeri Selangor mewartakan semula Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) yang sebelum ini akan dibangunkan untuk projek komersial disifatkan sebagai satu perkembangan sihat dan mewujudkan keadaan menang-menang.

Felo Utama Lestari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo berkata, keputusan terakhir itu memberikan kelegaan kerana keluhan rakyat didengar.

“Bukan semuanya akan diwartakan semula tetapi sebahagian kecil akan diperuntukan bagi penempatan orang asal dan jajaran lebuh raya. Kedua-duanya untuk kepentingan awam. Kawasan yang hendak dibangunkan untuk projek komersial dibatalkan dan diwartakan semula.

“Kita bercakap mengenai kawasan hutan gambut yang sangat terhad di Selangor, kebanyakan telah dibuka untuk pembangunan. Hutan gambut mempunyai fungsi penting untuk perkhidmatan alam sekitar dan kawalan banjir.

“Jaminan hutan gambut yang bakal diganti untuk diwartakan dikekalkan dengan keputusan asal, diwartakan juga adalah satu tindakan proaktif yang bijak,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada Rabu yang memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan memulakan proses mewartakan semula HSKLU.

Kawasan gantian yang diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal seluas 581 hektar di Sungai Panjang, Ampang Pechah dan Bukit Broga akan kekal statusnya sebagai Hutan Simpan Kekal.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, ketetapan yang dibuat kerajaan negeri itu adalah satu keputusan yang sukar.

Artikel Berkaitan:

“Saya fikir, kerajaan telah membuat keputusan yang sukar. Hutan yang telah dinyahwartakan, kini diwartakan semula. Ini satu tindakan yang sukar dan kerajaan Selangor telah menunjukkan keprihati-nan tinggi,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan sebarang isu alam sekitar memerlukan penglibatan pihak yang tidak mempunyai kepentingan.

“Jika terdapat isu alam sekitar dan kelestarian, ulasan jabatan teknikal dan pakar yang tidak mempunyai kepentingan perlu diraih. Malah keputusan itu juga perlu memberikan perhatian tinggi kepada kepentingan awam,” kata Ibrahim.