'Beralih ke fasa endemik bukan bermakna mengaku kalah'

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada sidang media di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada sidang media di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Peralihan fasa endemik Covid-19 yang dijangka bermula Oktober ini bukan bermakna Malaysia sudah mengaku kalah dalam melawan pandemik itu.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebaliknya berkata, ia merupakan realiti yang perlu diterima semua pihak.

Jelas beliau, hakikat bahawa mungkin 'titik akhir' adalah mengklasifikasikan pandemik Covid-19 kepada endemik bukan sahaja berlaku di negara ini, malah turut dinyatakan oleh beberapa negara lain.

"Saya tidak rasa ada negara yang akan mengatakan bahawa penerimaan Covid-19 sebagai endemik ini bermakna telah mengaku kalah. Ini bukan mengaku kalah tetapi untuk menyesuaikan kepada realiti sebenar untuk hidup bersama virus.

"Walaupun kita pada asalnya melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi dengan virus yang merebak dengan begitu cepat, ditambah pula dengan kemunculan varian baharu telah mengajar kita untuk terima hakikat ini," katanya dalam sidang akhbar di kementeriannya di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung dakwaan Malaysia mengaku kalah apabila pandemik Covid-19 akan diklasifikasikan sebagai endemik yang dijangka pada Oktober ini.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, meskipun beliau mengumumkan peralihan fasa dijangka berlaku pada hujung Oktober ini, namun ia bergantung kepada situasi semasa dalam tempoh dua bulan mendatang.

Menurutnya, pelbagai perkara akan diambil kira sebelum peralihan fasa diputuskan termasuk bergantung kepada kemunculan varian baharu.

Artikel Berkaitan:

"Andaian saya (sebelum ini bahawa kita akan beralih ke fasa endemik dibuat bersandarkan) dengan adanya vaksinasi yang tinggi pada akhir Oktober.

"Kita jangan ingat apabila memulakan peralihan fasa, semua prosedur operasi standard (SOP) tidak perlu dipatuhi lagi. Itu tidak betul kerana virus masih ada dan kita kena belajar hidup dengan virus.

"Kita tetap perlu amalkan SOP sedia ada khususnya memakai pelitup muka, penjarakan sosial dan elak mengunjungi tempat sesak," katanya.