X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 26 Oktober 2021

JSJK berkas dua sindiket pinjaman tidak berlesen

A
A

KUALA LUMPUR - Dua kumpulan sindiket pinjaman wang tanpa lesen dikenali sebagai kumpulan Ah Sing dan Ah Han berjaya ditumpaskan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman pada Selasa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md. Din berkata, kedua-dua sindiket itu ditumpaskan menerusi Operasi Vulture yang dijalankan secara serentak di Johor.

"Operasi Vulture yang dijalankan melibatkan sekitar daerah Johor Bahru Utara, Johor Bahru Selatan dan Iskandar Puteri.

"Hasil serbuan di kesmua lokasi ini berjaya memberkas 14 individu terdiri daripada 11 lelaki dan tiga wanita berumur antara 15 hingga 34 tahun," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, kesemua mereka yang diberkas dipercayai terlibat dalam aktiviti pemberi pinjaman wang tanpa lesen dengan menyasarkan warga tempatan sebagai mangsa.

"Kesemua suspek ini ditahan dibawah Seksyen 5 (2) Akta 404 Kanun Keseksaan, Seksyen 29 B (1)Akta Pemberi Pinjam Wang 1951(Akta 404), Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 4 (1)Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLATPUAA 2001) dan Akta Pencegahan Jenayah 1959," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Kamarudin berkata, pelbagai barangan termasuk kenderaan mewah turut dirampas dalam operasi yang dijalankan termasuk lapan kenderaan mewah pelbagai jenama, 23 telefon bimbit, 67 kad bank, dua tablet dan sebuah komputer riba.

"Selain itu, turut dirampas enam keping sijil pemilikan kenderaan dan pelbagai lagi barangan lain. Malah semakan rekod mendapati suspek-suspek terlibat turut mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau melibatkan Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 5(2) Kanun Keseksaan.

"Selain itu suspek turut terlibat dalam kesalahan melibatkan Seksyen 15(1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Jelasnya, orang ramai dinasihatkan agar berwaspada dan tidak mudah terperdaya dengan tawaran pinjaman iklan tidak berlesen dan jangan terpengaruh dengan tawaran yang dijanjikan sebaliknya pastikan pinjaman dilakukan dengan institusi kewangan yang sah dan diiktiraf.

"Orang ramai juga dinasihatkan agar membuat semakan dan pengesahan lesen berdaftar syarikat pinjaman wang berlesen dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan(KPKT)," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!