Kilang sawit didakwa beroperasi tanpa lesen

Mahkamah Majistret Telok Datok.
Mahkamah Majistret Telok Datok.
A
A
A

KUALA LANGAT - Sebuah kilang sawit didakwa di Mahkamah Majistret Telok Datok di sini pada Rabu, atas pertuduhan tidak mempunyai lesen perniagaan daripada Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).

Pertuduhan dibuat mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 3, UUK Kecil Tred Perniagaan Dan Industri Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) 2005.

Bagaimanapun, semasa prosiding, pihak kilang yang hadir tanpa diwakili peguam, memohon agar kes tersebut ditarik balik dengan alasan mereka telah menjelaskan kompaun pada kadar maksimum tanpa sebarang pengurangan di MPKL.

Majistret Khairul Farhi Yusob kemudiannya membenarkan kilang tersebut dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa MPKL, Hasrizal Abd Rahim.

Sementara itu, Yang Dipertua MPKL, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim berkata, pihaknya akan bertindak tegas terhadap mana-mana syarikat atau individu yang menjalankan sebarang perniagaan tanpa lesen sah.

Menerusi kenyataan media, beliau berkata, perniagaan atau aktiviti komersil yang tidak terkawal akan mengakibatkan kerugian pendapatan kepada kerajaan negeri selain menjejaskan keselamatan, kesihatan dan ketenteraman orang awam.

"Penduduk Kuala Langat perlu peka terhadap sebarang aktiviti perniagaan yang tidak mempunyai lesen sah MPKL.

"Sekiranya anda melihat aktiviti perniagaan tanpa lesen di kawasan anda, sila laporkan kepada kami, ditalian 0331872825 atau 0331872732," katanya.