Desak batalkan ambil alih tanah

Daniel (tengah) ketika sidang media selepas sesi 'townhall' di sini, hari ini.
Daniel (tengah) ketika sidang media selepas sesi 'townhall' di sini, hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Penduduk di Taman Kim Teng menuntut kerajaan negeri membatalkan pengambilalihan tanah seluas 28 ekar untuk tujuan pembangunan.

Pengerusi Persatuan Jawatankuasa Penduduknya, Daniel Lokman Hakim berkata, tiada sebarang makluman mahupun perbincangan antara kedua-dua pihak sebelum ini.

Sebaliknya mereka menerima notis Warta Kerajaan Negeri Johor pada 31 Januari lalu yang menyatakan bahawa tanah didiami sejak 1959 itu telah digazetkan di bawah Seksyen 4 Akta Pengambilalihan Tanah 1960.

"Kami terkejut beruk apabila menerima notis itu sebab tahun 2015 kami dapat tangguhkan di mana pembatalan rasmi digazetkan dalam Warta Kerajaan Negeri Johor 2016 tapi lima tahun kemudian, timbul lagi perkara ini.

"Malah sehingga kini tiada langsung perbincangan diadakan dengan kami jadi kami sepakat menuntut pengambilalihan tanah ini mesti dihentikan," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas sesi 'town hall' di sini, hari ini.

Sebahagian penduduk yang hadir bersama wakil rakyat mereka selepas sesi 'town hall' di sini, hari ini.
Sebahagian penduduk yang hadir bersama wakil rakyat mereka selepas sesi 'town hall' di sini, hari ini.

Pihaknya juga melahirkan rasa tidak puas hati apabila pihak pemaju dan kerajaan negeri seolah-olah berpakat menindas nilai hartanah di kawasan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Apabila Akta Pengambilalihan Tanah digunakan, secara automatik nilai hartanah itu akan jatuh.

"Sebab itu kami juga tuntut kerajaan pinda Seksyen 4 Akta Pengambilalihan Tanah ini. Perkara sebegini akan berlaku lagi pada masa depan. Akta ini mesti dihentikan," katanya.

Dalam pada itu, ketika sesi perbincangan beliau sempat menafikan dakwaan kerajaan negeri pada tahun lalu bahawa penduduk menuntut jumlah pampasan yang tinggi.

"Kami dikatakan meminta lebih banyak duit tapi masalahnya tak ada siapa pun datang jumpa dengan kami untuk bincang macam mana nak tuntut banyak atau sedikit," katanya.

Jawatankuasa penduduk juga telah melancarkan Petisyen Bantah Pengambilalihan Tanah Kim Teng Park 2019.

Sementara itu, Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir akui Akta Pengambilalihan Tanah itu mempunyai kelemahan yang mesti dibaiki.

"Saya akan usul isu ini melalui perbahasan atau cara lain supaya akta ini dapat dinilai kembali.

"Saya setuju dalam isu ini (Taman Kim Teng) ada kelemahan yang perlu diperbaiki," katanya.

Akmal ketika sidang media di sini, hari ini.
Akmal ketika sidang media di sini, hari ini.

Beliau juga bersetuju dengan persoalan dibangkitkan penduduk berhubung kenapa projek tersebut eksklusif kepada City Centre Transformation (JB) Sdn Bhd sahaja.

Beliau yang juga Ketua AMK berkata kerajaan perlu mendengar pandangan penduduk dan memberi kata putus yang jelas.

"Kalau mereka tetap tinggal di situ, kena jelas. Jangan bagi harapan sampai pilihan raya akan datang sahaja.

"Apa pun keputusan, suara penduduk perlu didengari, kena adil dan datanglah jumpa penduduk.

"Kita perlu buktikan kepada sesiapa sahaja yang berkuasa dalam perniagaan, kuasa sebenar datang daripada rakyat," katanya.