Jangan abai Islam, Melayu

DR AZMAN IBRAHIM
DR AZMAN IBRAHIM
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kekalahan PH dalam PRK DUN Semenyih semalam memberi isyarat jelas bahawa kerajaan yang diberi mandat memerintah perlu memelihara sensitiviti agama Islam dan survival masyarakat Melayu.

Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Dr Azman Ibrahim berkata, keputusan itu juga membuktikan kaum Bumiputera dan Melayu Islam merupakan teras kuasa politik di negara ini dan fakta itu tidak dapat dinafikan lagi.

“Siapa saja yang diberi peluang berada di puncak kuasa, pemeliharaan sensitiviti dan survival Melayu Islam perlu menjadi satu dari agenda utama mereka.

“Orang Melayu Islam mungkin berpecah dan berbeza pendapat dalam banyak perkara, tetapi bila garis merah sempadan bangsa dan agama dicerobohi, mereka boleh bangkit dengan mudah,” katanya ketika mengulas kemenangan BN di PRK Semenyih.

Dalam pilihan raya itu, calon BN, Zakaria Hanafi meraih 19,780 undi menewaskan calon PH, Muhammad Aiman Zainali yang mendapat 17,866 undi dan calon Bebas iaitu Kuan Chee Heng (725 undi) serta Nik Aziz Afiq Abdul dari Parti Sosialis Malaysia (847 undi).

Menurut Dr Azman yang juga ADUN Jabi, kebangkitan orang Islam bukan bermaksud mencetuskan huru-hara atau perlakuan membelakangkan undang-undang.

"Kebangkitan ini adalah untuk menyuarakan protes, isyarat dan peringatan kepada pemimpin bahawa mereka masih mempunyai maruah yang bukan mudah untuk dipermainkan.

Sehubungan itu beliau meminta pemimpin yang diberi kuasa memimpin sentiasa sedar akan keadaan itu sekaligus tidak gelojoh dalam memerintah.

Artikel Berkaitan:

“Saya bukan nak ajak pemimpin politik di sebelah sana supaya berfikir di luar kotak. Cuma saya menyeru agar jangan rakus dan gelojoh apabila kamu dipinjamkan sedikit kuasa.

“Kamu mungkin untung sebakul, tapi jangan lupa bahawa masih ada berlori-lori lagi yang pemandunya ialah rakyat marhaen di bawah. Berpada-padalah,” katanya.