Ahmad Zahid patut terima imuniti: Pembelaan

Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas menghadiri prosiding sambung bicara kesnya di Mahkamah Tinggi pada Isnin. - Foto Bernama
Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas menghadiri prosiding sambung bicara kesnya di Mahkamah Tinggi pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pasukan pembelaan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sepatutnya menerima imuniti dalam kes yang dihadapinya kerana mendedahkan semua maklumat berkaitan transaksi melibatkan Yayasannya sendiri.

Peguam, Hisyam Teh Poh Teik yang berkata demikian ketika berhujah di akhir kes pendakwaan bagi kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi membabitkan Ahmad Zahid di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Hisyam yang mewakili Ahmad Zahid berkata, anak guamnya sudah memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sejak awal penyiasatan.

Namun katanya, pasukan pendakwaan cuba menafikan hak anak guamnya untuk mempertahankan imunitinya di bawah Seksyen 30(7) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Ahmad Zahid telah beri maklumat dalam dua pernyataan iaitu pada 2 dan 3 Julai 2018 lalu.

“Malah kenyataan itu disokong oleh saksi pendakwaan ke-89 yang juga pegawai penyiasat, Fairul Rafiq Hamirudin,” katanya.

Selain itu beliau berkata, kes yang dipertuduhkan ke atas anak guamnya merupakan satu penindasan berlebihan.

Ini kerana katanya, berlaku ketidakadilan terhadap Ahmad Zahid apabila pihak pendakwaan memilih untuk mendakwa dalam jumlah yang banyak.

Artikel Berkaitan:

"Ahmad Zahid telah diadili secara berlebihan sedangkan tiada keperluan bertindak sedemikian.

"Tidak ada bukti prima facie, apalagi bukti yang banyak seperti yang dihujahkan," katanya.

Justeru itu beliau berkata, atas faktor-faktor itu, pertuduhan perlu digugurkan terhadap Presiden UMNO itu.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Prosiding disambung esok.