X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 19 Oktober 2021

Lima bangunan berisiko di Hospital Queen Elizabeth dikosongkan

Tangkap layar berita tanah runtuh.
A
A

KOTA KINABALU - Lima bangunan berisiko di Hospital Queen Elizabeth (HQE) di sini, terletak berhampiran kawasan tanah runtuh yang memusnahkan stor simpanan ubat-ubatan Kementerian Kesihatan (KKM) malam tadi, telah dikosongkan sebagai langkah keselamatan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, lima bangunan itu terletak di Kompleks C hospital tersebut iaitu Stor Ubat dan Consumable, Wad Perubatan Kronik, Wad Rehab, Klinik Tibi dan Sleep Lab.

Beliau berkata, runtuhan seluas 20 meter lebar itu juga telah menyebabkan kerosakan struktur bangunan Sleep Lab dan stor Hospital Support Services (HSS).

"Pihak HQE juga telah mengambil tindakan menutup perimeter kawasan runtuhan dan tapak runtuhan ditutup menggunakan kanvas. Beberapa langkah akan diambil termasuklah baik pulih segera oleh Jabatan Kerja Raya dan bantuan kebajikan khas kepada kakitangan yang terkesan akibat kejadian ini.

"Saya sendiri akan ke Kota Kinabalu Isnin ini bagi melihat sendiri keadaan di sana dan akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Kerajaan Negeri Sabah bagi memperincikan tindakan seterusnya yang perlu diambil," katanya menerusi perkongsian di laman Facebooknya pada Sabtu.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tanah runtuh yang memusnahkan stor simpanan ubat-ubatan KKM di Kampung Kopungit di sini malam tadi, yang turut menyebabkan tiga kenderaan dan sebuah motosikal kakitangan KKM, serta tiga kenderaan orang awam tertimbus.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Shahelmey Yahya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini berkata semua langkah keselamatan telah diambil bagi memastikan tiada kejadian yang tidak diingini berlaku di kawasan tersebut.

"Bangunan berisko telah dikosongkan, manakala kami juga telah meminta pihak pengurusan utiliti mengalihkan tiang dan wayar di kawasan itu, pada masa ini keadaan terkawal dan operasi HQE berjalan seperti biasa," katanya.

Mengulas mengenai kejadian banjir di negeri ini, Shahelmey berkata pihak berkuasa tempatan diminta memastikan semua parit dan sungai di negeri ini berfungsi dengan baik bagi memastikan kejadian banjir tidak menjadi lebih buruk.

"Kita mengalami kesan perubahan cuaca dengan intensiti hujan yang tinggi menyebabkan banjir kilat di banyak kawasan. Parit dan sungai penting untuk diselenggara agar air daripada hujan lebat itu dapat disalurkan dengan baik," katanya.

Beliau berkata, rakyat diminta supaya bersabar menghadapi bencana banjir yang berlaku dan kerajaan negeri kini sedang berusaha sedaya upaya bagi membantu mereka yang terlibat. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!