Ketua ajaran PMYT ditahan polis

Wanita berusia 39 tahun dipercayai ketua ajaran PMYT ditahan polis di Kuala Lumpur pada Sabtu.
Wanita berusia 39 tahun dipercayai ketua ajaran PMYT ditahan polis di Kuala Lumpur pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) yang mendakwa dirinya mampu berhubung dengan malaikat, Nabi Muhammad SAW dan ALLAH ditahan sekitar jam 1.10 pagi Sabtu.

Wanita berusia 39 tahun itu sebelum ini mendakwa mimpi perjalanan terakhir diturunkan kepada dirinya sebagai panduan buat umat manusia.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pengadu pada Isnin lalu selepas menonton sebuah video berkaitan ajaran tersebut yang dimuat naik di YouTube.

"Semasa pengadu berada di pejabat di Jalan Bukit Persekutuan, dia telah melihat satu video di YouTube bertajuk 'Mimpi Perang Dunia (Bertemu Rasulullah) Part 1' menerusi satu akaun bernama Cahaya Islam.

"Video itu memaparkan seorang wanita bercakap mengenai mimpi kejadian perang dunia ketiga (WW3) yang akan berlaku di Sabah," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Basri berkata, video yang dimuat naik oleh pemilik akaun YouTube bernama Cahaya Islam pada 30 Januari itu mempunyai jumlah tontonan mencecah 50,000 kali, 511 komen dan 908 tanda suka.

"Pengadu turut membuat carian di Facebook dan mendapati wanita tersebut mengaku sebagai ketua ajaran PMYT, malah aktif memuat naik video di Facebook dan YouTube menceritakan perihal perang dunia ketiga," katanya.

Artikel Berkaitan:

Telefon bimbit dan telekung putih yang dipercayai digunakan ketika siaran secara langsung di Facebook baru-baru ini.
Telefon bimbit dan telekung putih yang dipercayai digunakan ketika siaran secara langsung di Facebook baru-baru ini.

Menurutnya, sebanyak enam laporan polis dibuat terhadap suspek berkaitan isu tersebut di lima buah balai polis berasingan dan wanita tersebut pernah membuat laporan penafian sebelum ditahan.

"Suspek membuat laporan penafian sebelum ditangkap dan menafikan semua tuduhan termasuk tindakan yang boleh mengancam keselamatan negara," ujarnya.

Sementara itu, Basri berkata, wanita tersebut turut menyatakan di dalam videonya bahawa ALLAH akan menarik nyawa sesiapa yang cuba menyakiti atau menghalang dirinya daripada menyebarkan ajaran tersebut.

"Kenyataan dalam video ini boleh dianggap menghina kesucian agama Islam dan menimbulkan keresahan awam," katanya.

Dalam serbuan tersebut, katanya, polis merampas lima buah telefon bimbit, sekeping resit pemindahan wang ke dalam akaun tempatan berjumlah RM84,271 dan sepasang telekung putih yang dipercayai digunakan suspek ketika bersiaran secara langsung di Facebook.

"Suspek direman selama empat hari sehingga 7 September ini. Kes disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dibaca bersama di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," ujarnya.