X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

Penghantar barang menangis dihukum gantung sampai mati

Muhammad Hafizul didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 299.09 gram tiga tahun lalu.
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang penghantar barang tidak dapat menahan kesedihan selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini, menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadapnya setelah didapati bersalah mengedar dadah jenis kanabis seberat 299.09 gram, tiga tahun lepas.

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Hafizul Rashid Emmy, 29, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

"Setelah meneliti keterangan saksi dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan mengenai pemilikan dadah berbahaya dan pembelaan juga gagal menyangkal ke atas keimbangan kebarangkalian anggapan mengedar di bawah Seksyen 37(da)(vi) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Oleh itu, mahkamah mendapati tertuduh bersalah atas pertuduhan dihadapinya. Mahkamah dengan ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati," kata hakim itu dalam penghakiman ringkasnya.

Seorang wanita dipercayai ahli keluarga tertuduh yang berada di galeri awam dilihat sebak selepas mahkamah menjatuhkan hukuman tersebut.

Muhammad Hafizul didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 299.09 gram di sebuah rumah di Bandar Tasik Selatan, Cheras pada 11.50 malam, 8 Mac 2018, mengikut Seksyen 38B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama, yang membawa hukuman gantung sampai mati atau dipenjara seumur hidup dan juga dikenakan hukuman sebat tidak kurang daripada 15 sebatan.

Seramai enam saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan termasuk tertuduh telah memberi keterangan pada perbicaraan kes itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Izalina Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam, Suzana Norlihan. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!