Tengku Zafrul cadang naikkan had statutori hutang kepada 65 peratus

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

MENTERI Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz akan mencadangkan untuk menaikkan had statutori hutang kepada 65 peratus daripada 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada masa ini.

Beliau berkata, walaupun nisbah hutang statutori kepada KDNK pada masa ini sebanyak 58 peratus, berdasarkan komitmen yang dibuat oleh kerajaan untuk menyokong rakyat dan perniagaan, nisbah hutang kepada KDNK mungkin akan meningkat kepada melebihi 60 peratus pada akhir tahun.

“Hari ini, kita masih di bawah 60 peratus, (iaitu) sebanyak 58 peratus daripada had statutori hutang kita, dan walaupun jika kita melepasinya, ia adalah kecil, tetapi sekali lagi, kita perlu membawanya ke Parlimen untuk menaikkan had tersebut.

“Pelannya untuk membentangkannya (cadangan itu) kepada Kabinet minggu depan, kemudian kita akan membawanya ke Parlimen pada masa yang sesuai,” katanya pada sidang media pada Jumaat.

Ditanya sama ada kerajaan akan mempertimbangkan pinjaman asing berikutan ruang fiskal yang terhad, Tengku Zafrul berkata kerajaan tidak akan membuat pinjaman dalam mata wang asing buat masa ini.

“Kita mempunyai mudah tunai yang mencukupi dalam pasaran. Kami menjangka untuk membiayai semua pakej rangsangan dengan memanfaatkan pasaran ringgit tempatan dan kami mempunyai kecairan yang mencukupi tanpa perlu bimbang mengenai impak kepada pasaran tempatan,” katanya.

Bagaimanapun, Tengku Zafrul mengakui bahawa kerajaan mempunyai ruang fiskal yang terhad tetapi itu tidak menghalangnya daripada terus memperluas dasar fiskalnya untuk menyokong ekonomi.

“Kita telah menyaksikan bagaimana kami telah menyemak semula perbelanjaan kami untuk meningkatkan pinjaman dan defisit telah meningkat, yang diunjurkan sehingga 6.5-7.0 peratus,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, setakat ini, sebanyak 97 peratus daripada jumlah pinjaman kerajaan adalah dalam mata wang ringgit dan hanya tiga peratus dalam mata wang asing.

Mengenai memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dalam Bajet 2022, Tengku Zafrul berkata kerajaan sedang memberi tumpuan untuk memulihkan ekonomi dan ini bukan masa yang sesuai untuk mengembalikan semula cukai penggunaan seperti GST.

Beliau berkata, kerajaan sedang mengkaji cara untuk meningkatkan pendapatan dan menangani isu ketirisan hasil.

Mengenai jangkaan Malaysia untuk memasuki fasa endemik Covid-19 pada akhir Oktober ini, katanya beliau berharap semua sektor akan dibenarkan untuk beroperasi semula pada masa itu, walaupun dalam keadaan normal baharu.

“Apabila kita memasuki fasa endemik, akan terdapat perubahan dalam prosedur operasi standard, tetapi ini akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara Malaysia,” katanya. - Bernama