Pelaburan Infineon: Ramai cuba 'ambil kredit', Tengku Zafrul tampil penjelasan

Tengku Zafrul. - Foto Bernama
Tengku Zafrul. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz tampil dengan penjelasan susulan dakwaan terdapat pihak yang cuba mengambil nama atas pelaburan terbaharu Infineon Technologies AG.

Jelas beliau menerusi perkongsian di laman media sosial TikTok pada Ahad, pelaburan syarikat penyedia penyelesaian semikonduktor dari Jerman itu merupakan pelaburan tambahan dan dilakukan atas dasar kestabilan politik.

Ujarnya pelaburan itu bukan pelaburan yang diumumkan tahun lepas, tetapi merupakan pelaburan tambahan ketika di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

"Mengapa Infineon dan syarikat lain makin yakin nak melabur di Malaysia tahun ini? Antara sebabnya ialah kestabilan politik.

"Bila kerajaan asyik bertukar, pelabur kurang yakin nak masuk. Kenapa? Sebab bila kerajaan baru masuk, mungkin akan tukar dasar, jadi ini mungkin boleh beri impak negatif kepada pelaburan.

"Tetapi kerajaan sekarang ini kukuh, majoriti pun dua per tiga. Insya-ALLAH akan bertahan sehingga hujung tempoh," katanya.

Menurut beliau, keyakinan itu turut terbukti menerusi pencapaian suku pertama ekonomi tahun ini apabila jumlah pelaburan yang diluluskan adalah RM71.4 bilion.

Peningkatan itu adalah pada tahap 60 peratus berbanding suku pertama tahun lepas.

"Tahun lepas Infineon nak melabur RM8 bilion, MITI dah beri insentif, tahun ini Infineon nak melabur RM25 bilion, pelaburan ini akan mewujudkan banyak pekerjaan untuk rakyat Malaysia.

"Produk syarikat ini akan dieksport ke luar negara. Jadi hasil pendapatan negara akan meningkat tinggi," tambah beliau.

Infineon pada Khamis mengumumkan perancangan meningkatkan kemudahannya di Kulim untuk membina loji fabrikasi kuasa silikon karbida (SiC) 200 milimeter (mm) terbesar di dunia dengan pelaburan tambahan sebanyak lima bilion euro bagi tempoh lima tahun akan datang.

Sejak lima dekad yang lalu, Infineon telah menjadikan Malaysia sebagai sebuah hab penting dalam pembuatan fabrikasi wafer di Kulim dan melaksanakan aktiviti pembungkusan cip semikonduktor di Batu Berendam, Melaka.

Mengulas mengenai pelaburan tersebut, Perdana Menteri berkata ia selaras dengan gagasan Ekonomi Madani yang menyasarkan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia dan berada di kedudukan antara 30 ekonomi terbesar di dunia. - Awani