P. Pinang terima lebih sejuta dos vaksin Covid-19 bulan ini

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A
GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang bakal menerima lebih sejuta dos vaksin Covid-19 daripada Kerajaan Persekutuan bulan ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar Pulau Pinang, Dr Norlela Ariffin.

Beliau berkata, kumpulan pertama sebanyak 360,000 dos vaksin itu dijangka tiba pada Jumaat.

"Antara vaksin Covid-19 yang bakal diterima adalah Pfizer sebanyak 760,000 dos, Sinovac (200,000), AstraZeneca (40,000) dan CanSino, vaksin satu dos untuk golongan yang sukar mendapatkan dos kedua sebanyak 15,000 dos," katanya pada sesi penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di sini pada Khamis.

Norlela berkata, tambahan vaksin itu dapat menampung kira-kira 160,000 penduduk Pulau Pinang yang belum menerima vaksin Covid-19 selain melengkapkan pemberian dua dos vaksin dalam kalangan penduduk.

"Setakat hari ini (Khamis), 1.1 juta penduduk Pulau Pinang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 dan kita berharap tambahan vaksin dapat membantu usaha negeri untuk mencapai imuniti kelompok," katanya.

Sementara itu, Norlela berkata, kerajaan Pulau Pinang merancang untuk membina kilang pengeluaran vaksin Covid-19 atau akan dikenali sebagai 'Intergrated Biomedical Park' dan kerajaan negeri mengenal pasti tanah seluas kira-kira 404 hektar di Seberang Perai Utara untuk tujuan itu.

"Kita sedang berbincang dengan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) mengenai rancangan itu," katanya.

Beliau berkata, Pulau Pinang mempunyai kepakaran dalam kalangan graduan Universiti Sains Malaysia yang boleh digunakan dalam projek itu dan usaha tersebut juga sebagai persediaan kepada kemungkinan rakyat perlu mendapatkan dos ketiga Covid-19 pada masa depan. - Bernama

Artikel Berkaitan: