Pindaan Akta Kuasa dan Keistimewaan Parlimen 1952 perkukuh kewibawaan Parlimen

TAN SRI DR RAIS YATIM
TAN SRI DR RAIS YATIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Akta Kuasa dan Keistimewaan Parlimen 1952 akan disyorkan untuk dipinda bagi memperkukuhkan kewibawaan Parlimen sebagai Badan Legislatif tertinggi negara.

Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, pindaan itu sekali gus membolehkan Parlimen mempunyai asingan kuasa khususnya daripada Eksekutif.

Menurutnya, akta itu sudah terlalu lama dan tidak pernah dipinda menyebabkan kuasa Parlimen tidak lagi berkesan.

“Kami (Parlimen) akan buat secepat mungkin bagi cadangan pindaan itu, seterusnya akan minta Kabinet melihat dan meluluskannya sebab ini hak Parlimen.

“Saya akan mempengerusikan satu mesyuarat khas untuk melaksanakannya dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar akan menyampaikan pandangan dasar kepada Kabinet menerusi Perdana Menteri dan kami akan membuat kerja rumah ini secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hasil pertemuan khas bersama Wan Junaidi di Pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat, pada Khamis.

Turut serta dalam pertemuan itu adalah Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dan Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia, Nor Yahati Awang.

Artikel Berkaitan:

Wan Junaidi dalam pertemuan khas yang diadakan di Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat pada Khamis. - Foto: Parlimen Malaysia
Wan Junaidi dalam pertemuan khas yang diadakan di Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat pada Khamis. - Foto: Parlimen Malaysia

Mengulas lanjut mengenai cadangan pindaan Akta Kuasa dan Keistimewaan Parlimen 1952, beliau berkata, pindaan itu perlu kerana banyak perkara yang melampaui zaman disebabkan sudah terlalu lama.

“Akta itu kena dikemaskini dan saya yakin jika pindaan akta itu dibuat, ia akan menzahirkan satu undang-undang keberkesanan dan pemerkasaan Parlimen dengan terbaik.

“Contohnya, apa-apa arahan Parlimen kepada ahli atau kepada mana-mana pihak, ia akan mengandungi kuasa Parlimen itu sendiri dan akan dapat mengatasi banyak hal dan muslihat pada hari ini yang tidak dapat dikawal.

“Keduanya, kedudukan peraturan mesyuarat yang harus dipinda oleh jawatankuasa. Selain itu, Jawatankuasa Khas Parlimen akan diberi kuasa yang setimpal supaya apa-apa tindakan Parlimen itu tidak lagi dilihat sebagai remeh atau tidak lagi dilihat sebagai tidak penting.

“Contohnya, mana-mana ahli Parlimen yang biadap, menggunakan bahasa carut atau memperli kedudukan di Parlimen, menggunakan isyarat atau bahasa biadap dan seksual, kita akan dapat atasi sekiranya pindaan itu akan dapat dilakukan.

“Menteri sangat menerima pandangan kami dan beliau memberikan komitmen dan memberikan sepenuh sokongan supaya pindaan itu dapat dibuat secepat mungkin. Insya-ALLAH, zaman cerah Parlimen Malaysia,” ujarnya.

Selain itu katanya, Parlimen akan menghidupkan kembali Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 dengan pindaan yang menyeluruh.

“Ia membolehkan Parlimen mempunyai kewangan sendiri, cara membelanjakannya dan kaedah perjawatan yang sendiri. Yang penting sekali, pindaan di bawah akta itu ialah kedudukan kewangan Parlimen berhubung dengan perkhidmatan Parlimen itu sendiri.

“Sekarang, kita dikawal oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) jadi pegawai dan kakitangan Parlimen hari ini dianggap sebagai salah satu daripada jabatan JPA, yang mana tidak boleh. Secara tidak langsung, Parlimen akan bebas dengan cengkaman mana-mana pihak,” ujarnya.