Pelepasan benih asli tempatan, hasil nelayan darat meningkat - DOF

SHAH ALAM - Pendaratan ikan oleh nelayan darat menunjukkan peningkatan lebih 70 peratus apabila sebanyak 42,749.57 metrik tan direkodkan dalam tempoh lima tahun sejak 2021.
Peningkatan itu sekali gus membuktikan keberkesanan usaha pemuliharaan biodiversiti sumber perikanan darat yang dilaksanakan Jabatan Perikanan (DOF) menerusi Program Pelepasan Ikan ke Perairan Umum, berdasarkan pertambahan rekod pendaratan ikan.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain, berkata bagi tempoh 2023 hingga 2025, DOF telah melaksanakan kajian untuk menilai keberkesanan program pelepasan ikan ke perairan umum, khususnya melibatkan spesies baung.
Menurutnya, hasil kajian mendapati program peningkatan stok benih ikan baung yang dilaksanakan DOF memberikan impak positif dan berkesan dalam meningkatkan hasil pendaratan ikan oleh nelayan darat.
"Selain itu, kajian ini turut mendapati spesies ikan baung mencatatkan peningkatan trend pendaratan yang signifikan apabila mencapai pendaratan tertinggi sebanyak 950.43 metrik tan pada tahun 2022, berbanding 524.54 metrik tan pada tahun 2018.
"Peningkatan pendaratan ini secara langsung memberi sumbangan ekonomi yang besar kepada nelayan darat dengan nilai borong mencecah RM19.97 juta dan nilai runcit RM25.73 juta pada tahun 2022," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, trend pendaratan perikanan darat bagi tempoh 2021 hingga 2025 menunjukkan peningkatan kumulatif sebanyak 78.2 peratus.
Menurutnya, data tersebut membuktikan program pengkayaan stok dan pelepasan benih ikan bukan sahaja berjaya meningkatkan hasil tangkapan pada peringkat awal, malah mampu mengekalkan kadar pendaratan yang tinggi secara mampan dari tahun ke tahun.
"Berdasarkan statistik, pendaratan ikan perairan darat merekodkan 5,561.94 metrik tan pada 2021, meningkat kepada 8,189.49 metrik tan pada 2022, 9,434.08 metrik tan pada 2023, 9,651.87 metrik tan pada 2024 dan 9,912.19 metrik tan pada 2025," katanya.
Sehubungan itu, DOF mengingatkan orang ramai supaya tidak melepaskan sebarang spesies ikan ke perairan umum tanpa kebenaran dan nasihat jabatan berkenaan.
"Mana-mana individu yang ingkar boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Kaedah-Kaedah Perikanan (Sungai) yang berkuat kuasa di negeri masing-masing," katanya.
Khamis lalu, Sinar Harian melaporkan spesies baung sungai, udang galah, lampam sungai, terbul dan puyu antara 25,606,699 ekor benih ikan tempatan bernilai RM8.05 juta yang dilepaskan ke perairan umum sejak tahun lalu bagi memperkaya biodiversiti sumber perikanan darat.
Program itu dilaksanakan susulan ancaman terhadap sumber perikanan darat akibat aktiviti penangkapan berlebihan, pencemaran air, pencerobohan rizab sungai, kemusnahan habitat semula jadi serta persaingan daripada spesies ikan invasif.
Pada tahun lalu, sebanyak 19,792,113 ekor benih ikan tempatan bernilai RM6.02 juta dilepaskan ke perairan umum, manakala setakat Oktober tahun ini melibatkan 5,814,586 ekor benih dengan nilai RM2.03 juta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
