Permudahkan lagi permohonan bantuan JKM: Rina

Rina (kanan) menghulurkan sumbangan ketika mengunjungi keluarga Siti Nur Azizah di PPR Beringin pada Khamis.
Rina (kanan) menghulurkan sumbangan ketika mengunjungi keluarga Siti Nur Azizah di PPR Beringin pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Harun menyasarkan untuk mempermudahkan lagi proses permohonan bantuan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada golongan memerlukan dalam tempoh 100 hari beliau berkhidmat.

Beliau berkata, sasaran tersebut dibuat susulan peningkatan permohonan bantuan pada kadar 20 hingga 30 peratus sepanjang tahun 2020.

“Jumlah keseluruhan permohonan sekarang lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya di mana semua permohonan adalah kes sebenar yang betul-betul memerlukan bantuan pihak JKM,” katanya selepas menziarahi keluarga mangsa samun, Siti Nur Azizah Syafriadi di PPR Beringin di sini pada Khamis.

Pada ziarah tersebut, Rina memberikan bantuan berbentuk kotak makanan, wang tunai dan bantuan tablet pendidikan kepada keluarga mangsa.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Titiwangsa berjanji untuk memastikan nasib golongan wanita dan kanak-kanak yang terjejas akibat Covid-19 terbela.

"Malah saya juga sudah berbincang dengan pihak Mydin dan mereka bersetuju untuk ambil adik ini bekerja sekiranya dia mahu bekerja dan juga bersetuju memberi bantuan barang dapur kepada keluarga ini selama enam bulan sebanyak RM200.

“Di pihak kementerian, kita akan bantu dari segi kaunseling berkala kepada adik Siti Nur Azizah dan bukan itu sahaja kita lihat ibu dia juga ibu tunggal, jadi kita akan bantu dari segi bimbingan dan latihan sekiranya mereka ingin membuka perniagaan," katanya.

Sementara itu, itu ibu mangsa, Roslinawati Ya, 38 mengakui sangat berbesar hati dengan keprihatinan pelbagai pihak termasuk rakyat Malaysia yang mendoakan kesihatan anaknya yang kini sudah bertambah baik dari sebelumnya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Siti Nur Azizah kini memerlukan sokongan dan kekuatan untuk meneruskan kehidupannya.

“Alhamdulillah semalam dia dah boleh bercakap dan dia reda dengan nasib yang menimpanya,” katanya.

Pada 26 Ogos yang lalu, Siti Nur Azizah,18 bersama teman lelakinya menaiki motosikal cedera selepas dipercayai diserang serta disamun tiga lelaki di Jalan Kuching menghala ke Jinjang dalam kejadian jam 12.15 tengah malam.

Ketika kejadian, mangsa didatangi dua lelaki menaiki motosikal RS150 warna kelabu sebelum menarik tangan mangsa.