Pra-Belanjawan untuk tatapan awam jamin ketelusan

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kenyataan Pra-Belanjawan (PBS) yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) untuk tatapan awam dilihat sebagai proses penting bagi menjamin ketelusan dalam penyediaan perbelanjaan belanjawan negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Tricia Yeoh berkata, selain itu penyediaan PBS untuk tatapan awam turut dapat menambah baik kedudukannya dalam Open Budget Survey di peringkat antarabangsa yang mengukur ketelusan belanjawan setiap negara.

"Seperti yang ditunjukkan di dalam PBS ini, Malaysia hanya mendapat pemarkahan rendah sebanyak 47 markah berbanding negara-negara jiran serantau iaitu Filipina (76), Indonesia (70), dan Thailand (61).

"Menyediakan Kenyataan Pra-Belanjawan untuk tatapan awam bermula daripada sekarang sememangnya akan meningkatkan skor Malaysia.

"Kami berterima kasih kepada Menteri Kewangan serta Pejabat Belanjawan Negara terutamanya kerana responsif terhadap cadangan kami," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah Tricia, PBS memberikan pencapaian baharu kepada Malaysia dalam usaha berterusan meningkatkan ketelusan dan kebertanggungjawaban belanjawan.

"IDEAS juga mengalu-alukan perancangan untuk menerbitkan kertas perundingan tentang Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) yang akan memberikan satu arah strategik terhadap perancangan fiskal masa hadapan Malaysia.

"Kami percaya bahawa hal ini wajar dirangkumkan ke dalam FRA jika ini merupakan mekanisme yang ingin diambil oleh Malaysia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Pengurus Kanan Penyelidikan di Unit Kewangan Awam IDEAS, Sri Murniati Yusuf berkata, meskipun kenyataan pra-belanjawan itu merupakan satu perkembangan yang menggalakkan, pihaknya percaya bahawa dokumen tersebut masih boleh ditambah baik dengan memasukkan lebih banyak maklumat mengenai Belanjawan 2022 dan unjuran hasil, perbelanjaan serta takat hutang untuk dua atau tiga tahun akan datang.

Katanya, tindakan itu akan menaikkan Malaysia ke tahap piawai ketelusan belanjawan antarabangsa selain menunjukkan sama ada pihak kerajaan mempunyai perancangan yang jelas tentang pengukuhan fiskal pada masa hadapan.

“Kami juga mengalu-alukan rancangan untuk menilai semula perbelanjaan awam. Kebanyakan negara ekonomi maju telah mempunyai mekanisme ini dan ia akan menjadi satu alat penting kerajaan dalam usaha meluaskan ruang fiskal,” katanya.