Kedah saran tamat operasi syarikat feri terbakar

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah menyarankan kepada kerajaan persekutuan agar menamatkan perkhidmatan feri penumpang Dragon Star Shipping Sdn Bhd bagi menjaga imej Kedah dan Pulau Langkawi.

Exco Pertanian dan Asas Tani, Pengangkutan dan Industri Utama Kedah, Azman Nasrudin berkata, perkara itu dimaklumkan kepada Kementerian Pengangkutan selepas mendapat persetujuan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) serta Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir yang bermesyuarat baru-baru ini.

Azman berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai pilihan lain bagi memastikan kejadian sama tidak berulang hingga boleh menjejaskan industri pelancongan sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA'19) yang bermula dari 26 hingga 30 Mac ini

"Dalam mesyuarat Exco baru-baru ini saya mendapat persetujuan daripada MMK termasuk Menteri Besar supaya saranan ini dilakukan dan saya sebagai Exco bertanggungjawab menghubungi Kementerian Pengangkutan untuk menyatakan saranan kerajaan negeri supaya membatalkan lesen dan permit mereka.

“Kita mempunyai alasan yang kukuh untuk memberi saranan demikian kerana perkhidmatan kenderaan air syarikat itu dianggap tidak memuaskan dan kita tak mahu ambil risiko kerana ia bukan pertama kali berlaku apabila pernah terkandas selama lapan jam di tengah perairan akibat enjin rosak pada 26 Oktober tahun lalu," katanya selepas merasmikan Pesta Durian 2019 di perkarangan Stadium Darul Aman di sini, hari ini.

Menurutnya, sehingga kini kerajaan negeri masih menunggu keputusan daripada kementerian itu dan percaya maklum balas mengenainya akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Pengangkutan Negara di ibu negara pada 5 Mac ini.

Dalam pada itu, Azman turut mengarahkan Jabatan Laut Malaysia (JLM) melakukan pemeriksaan fizikal terhadap semua feri penumpang bagi memastikan para pengusaha mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan terutama sebelum, semasa dan selepas LIMA.

"Kita akan minta Jabatan Laut Malaysia perketatkan sebab jumlah penumpang akan meningkat mendadak pada LIMA dan saya sudah minta pihak terbabit memastikan feri-feri yang akan beroperasi sepanjang LIMA melakukan pemeriksaan ikut SOP yang sepatutnya, jadi pelancong tak perlu risau selepas ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ketika ditanya mengenai perkembangan siasatan kejadian itu, Azman memberitahu pihaknya belum memperoleh sebarang maklumat berikutan JLM masih melakukan siasatan dan perkara itu akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Dalam kejadian kira-kira 2.45 petang Isnin lalu, 52 penumpang feri Dragon Star 1, berhadapan detik cemas selepas feri itu terbakar sebaik sahaja bertolak dari Terminal Feri Kuah, Langkawi menuju ke Kuala Perlis sebelum diselamatkan oleh bot dan feri lain yang berada berhampiran. - Bernama