Kerajaan Persekutuan tumpu lima aspek bangun Kedah

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) ketika hadir bagi merasmikan Konvensyen Perpaduan Negeri Kedah pada Ahad. - Foto Bernama.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) ketika hadir bagi merasmikan Konvensyen Perpaduan Negeri Kedah pada Ahad. - Foto Bernama.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Persekutuan menggariskan lima aspek yang akan diberikan keutamaan di Kedah dalam membangunkan negeri serta meningkatkan kebajikan rakyat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tumpuan termasuk kepada membangunkan agro-perniagaan, pendidikan tahfiz, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), telekomunikasi serta jaminan bekalan air untuk sektor pertanian dan domestik.

Menurutnya, perancangan untuk rakyat Kedah ini pastinya akan lebih lancar sekiranya Kerajaan Perpaduan mengambil alih kerajaan negeri agar apa yang dirancang dapat direalisasikan.

“Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah (Datuk Mahfuz Omar) ada menyebut tiga perkara utama yang ada dalam perancangan saya.

“Agro-perniagaan antaranya bukan hanya isu keterjaminan makanan selain menjadikan Kedah kekal sebagai negeri Jelapang Padi. Ia merangkumi keberhasilan produktiviti kepada usahawan padi dan ia harus dipertingkatkan menerusi metodologi atau kaedah baru oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA),” katanya dalam sidang akhbar di sini selepas merasmikan Konvensyen Negeri Majlis Pimpinan Perpaduan Kedah pada Ahad.

Hadir sama, Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Konvensyen peringkat negeri ini adalah yang pertama diadakan selepas Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang diadakan minggu lalu.

Ahmad Zahid berkata, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) juga akan menyalurkan bantuan melalui pendekatan sama agar nasib pesawah terus dibela bukan hanya isu harga padi, subsidi baja dan pelbagai bantuan lain.

“Keselarasan ini penting untuk kelancaran semua aspek. Saya telah melakukan lawatan ke Empangan Muda dan Pedu dan MADA memberi jaminan musim penanaman padi pengairan dua kali setahun akan lancar selain jaminan bekalan air akan terus disalurkan,” katanya.

Menurutnya lagi, kerajaan Persekutuan komited membantu maahad tahfiz tanpa meminggirkan sekolah Cina dan Tamil.

“Kita akan bantu pelajar maahad tahfiz bukan hanya dalam soal pembelajaran atau penghafazan, ini termasuk menawarkan pengajian ke peringkat lebih tinggi seperti di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Politeknik, sama ada diploma, ijazah hingga ke peringkat PhD.

“Kita perlukan kerjasama dalam bidang maahad tahfiz ini, biarpun terdapat 9,000 pelajar tahfiz di seluruh Kedah dengan 1199 buah tahfiz selain masih ada yang belum berdaftar, kita akan bantu mereka hingga peroleh taraf pendaftaran,” ujarnya.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Malaysia berkata, kerajaan membelanjakan RM6.8 bilion dalam menyelaraskan 1291 institusi TVET di seluruh negara.

“Tentunya Kedah jangan dipinggirkan dalam pembangunan TVET. Kewujudan UniKL di Kulim Hi Tech akan kita tingkatkan dengan beberapa program bersesuaian dengan kehendak pasaran guna tenaga.

“Kita juga akan wujudkan TVET di bawah KEDA selain memperkukuhkan lagi institusi TVET sedia ada,” katanya.

Menurutnya lagi, liputan sistem 5G untuk kawasan berpenduduk padat dijangka mencecah 80 peratus menjelang akhir tahun ini.

“Saya telah beri penekanan agar kawasan luar bandar jangan ketinggalan. Kita akan lakukan koordinasi agar kawasan luar bandar tidak dipinggirkan.

“Apa yang saya sebutkan bukan manifesto. Kita akan laksanakan. Itu janji kita. Perancangan jangka sederhana dan panjang ini akan dilaksanakan oleh kerajaan Pusat, apatah lagi kalau kita ambil alih Kedah, lagi mudah,” ujarnya.