Kerajaan negeri hasrat bangunkan lebih 11,000 hektar tanah terbiar

Razman ketika menjawab soalan lisan yang dikemukakan berkaitan pertanian pada Sidang DUN Perak, di Ipoh pada Isnin. - Foto Urusetia Dewan Negeri Perak
Razman ketika menjawab soalan lisan yang dikemukakan berkaitan pertanian pada Sidang DUN Perak, di Ipoh pada Isnin. - Foto Urusetia Dewan Negeri Perak
A
A
A

IPOH - Perak memiliki 11,013 hektar tanah terbiar yang tidak dibangunkan melibatkan 4,004 lot sehingga Oktober 2019.

Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria berkata, daerah Kinta mempunyai jumlah tanah terbiar paling tinggi iaitu 4,471 hektar diikuti daerah Hulu Perak (2,197 hektar) dan daerah Batang Padang (1,632 hektar).

Menurutnya, kerajaan negeri berhasrat memperluaskan kawasan pertanian di negeri ini dengan membangunkan tanah terbiar sedia ada bersama pemain-pemain baharu termasuk menarik minat golongan muda menceburi bidang pertanian.

"Cuma tanah terbiar ini kebanyakannya tanah pusaka, yang menjadi masalah sebab tiada autoriti untuk membenarkan. Bagaimanapun kita sedang berusaha supaya tanah-tanah tersebut boleh dipulihkan.

"Mengenai data, kita memang dalam proses mendapatkan data daripada keseluruhan secara terperinci dari pejabat-pejabat daerah.

"Apabila dapat data nanti, baru kita boleh dapatkan pelaburan disebabkan keterbatasan pergerakan ketika ini," katanya ketika menjawab soalan lisan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Isnin.

Sementara itu, mengenai persoalan padang ragut yang belum dimajukan di negeri ini, Razman menjelaskan sehingga kini, padang ragut yang dimajukan adalah seluas 3,399 hektar.

Menurutnya, jumlah itu merupakan sebahagian daripada 85 buah padang ragut di negeri ini dengan keluasan keseluruhan sebanyak 4,792 hektar.

Artikel Berkaitan:

Jelas Razman, baki kawasan yang masih belum dimajukan adalah seluas 814 hektar manakala terdapat seluas 579 hektar yang tidak berpotensi untuk dimajukan kerana berbukit, bercerun, berpaya dan berbatu.