X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 19 Oktober 2021

4 pasar awam di Seberang Perai kembali beroperasi minggu ini

Rozali
A
A

BUKIT MERTAJAM - Empat pasar awam milik Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) yang sebelum ini diarahkan tutup berikutan terdapat kes positif Covid-19 dibenarkan beroperasi semula pada minggu ini.

Datuk Bandar MBSP, Datuk Sr Rozali Mohamud berkata, pasar awam terbabit ialah Pasar Awam Tambun Indah di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) yang merekodkan 10 kes positif melibatkan peniaga, pembantu perniagaan dan pekerja MBSP dan Pasar Awam Sri Bandar di Seberang Perai Utara (SPU) yang mencatatkan tujuh kes positif.

Beliau berkata, Pasar Awam Tasek Gelugor di dalam daerah SPU pula mencatatkan empat kes positif, manakala Pasar Awam Bandar Tasek Mutiara di SPS seramai 16 orang positif.

"Hasil semakan dan nasihat daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), MBSP dengan ini membenarkan kesemua pasar awam ini untuk beroperasi semula mengikut tarikh ditetapkan.

"Bagaimanapun, MBSP memberi amaran tegas terhadap peniaga atau pembantu sekiranya masih berada dalam pengawasan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan belum tamat tempoh kuarantin, mereka tidak dibenarkan untuk menjalankan sebarang aktiviti di dalam pasar awam.

"Ini bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan dan perundangan selanjutnya diambil," katanya menerusi satu kenyataan ada Isnin.

Rozali berkata, mana-mana pembantu yang disahkan positif walaupun majikannya atau pemilik premis negatif ujian saringan, pihak majikan itu turut diminta menutup sementara operasi jualan mereka selama 10 hari bermula dari tarikh pembantu mereka disahkan positif Covid-19.

Jelas beliau, arahan ini dibuat bertujuan untuk mengurangkan risiko jangkitan dan penyebaran semula virus Covid-19 di lokasi tersebut.

"MBSP tidak akan membenarkan mana-mana peniaga yang tidak menjalankan ujian saringan melalui PKD, klinik swasta atau mendapat surat pelepasan daripada KKM untuk membuka semula operasi perniagaan.

"Hanya peniaga yang telah menjalankan salah satu ujian saringan (RTK- Antigen / RT-PCR) dan disahkan negatif serta tamat tempoh kuarantin sahaja yang dibenarkan membuka semula operasi perniagaan mereka," jelas beliau.

Dalam perkembangan lain, Rozali memaklumkan Pasar Awam Kampung Baru di Seberang Perai Tengah (SPT) ditutup sementara selama tiga hari bermula 31 Ogos berikutan terdapat tiga kes positif Covid-19 melibatkan peniaga dan pekerja mereka.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!