Kerajaan diminta pertimbang benarkan penanaman ketum, hemp

Zahidi Zainul Abidin
Zahidi Zainul Abidin
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan diminta supaya menimbangkan kebenaran untuk menanam tanaman hemp dan ketum selepas Thailand mengambil langkah mengeluarkan kedua-duanya daripada senarai dadah.

Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, kedua-dua jenis tanaman itu bukan sahaja mampu memberi kebaikan dari segi perubatan malah turut berupaya meningkatkan pendapatan lebih dua juta petani kecil di luar bandar.

Menurut beliau, ketum dan hemp merupakan tanaman yang mempunyai permintaan eksport tinggi di luar negara.

"Orang yang menyalahgunakan ketum ini dari segi rekod sekitar 2,000 lebih sahaja.

"Sedangkan kita ada lebih kurang dua juta petani kecil-kecilan ini di luar bandar di seluruh negara yang boleh dapat manfaat.

"Jadi, ini benda yang kita cadangkan sebab nilai perubatan dan permintaan eksportnya itu cukup tinggi," katanya yang juga bekas Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Mengulas lanjut, Zahidi berkata, walaupun hemp sering dikaitkan dengan ganja, namun ia adalah antara jenis kanabis yang tidak mengkhayalkan.

"Hemp ini ada persamaan dengan kenaf (antara jenis dalam keluarga ganja) kerana ia tidak memabukkkan dan mengkhayalkan seperi ganja.

Artikel Berkaitan:

"Jadi, ia perlu ditarik keluar daripada senarai dadah berbahaya. Selain boleh digunakan untuk buat perabot, hemp ini juga ada bahan kimia yang boleh digunakan sebagai ubat kanser.

"Harga pil itu (ubat kanser yang diperbuat daripada hemp) mencecah RM1,800," ujarnya.