Tambah penguat kuasa, aset pertahanan

No Image Caption
A
A
A

KISAH penyeludup mengambil kesempatan membawa masuk barangan terlarang termasuk kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) di sempadan negara bukan isu baharu.

Kelmarin sahaja, tiga warga tempatan yang disyaki bersekongkol dengan sindiket penyeludupan rokok dan arak bernilai RM23.7 juta diberkas dalam serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, 87,150 karton rokok dalam dua kontena dengan nilai termasuk cukai berjumlah RM20 juta.

Selain rokok, arak dan dadah, isu pemerdagangan manusia juga perlu diberi perhatian. Menurut Zainal Abidin, masalah kekurangan anggota polis yang berkawal di sempadan Kalimantan-Sabah dan Sarawak juga dalam keadaan mendesak.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan tambahan sekurang-kurangnya satu batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) di Sarawak untuk menguatkan lagi tahap kawalan keselamatan sempadan di negeri itu susulan pembangunan Kalimantan yang bakal menjadi ibu negara baharu Indonesia.

Zainal Abidin berkata, pihaknya dalam perancangan menambah bilangan keanggotaan Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas (CPSK) KDNKA berdasarkan kejayaan dan rampasan melibatkan jutaan ringgit yang dilakukan unit itu sejak ditubuhkan kurang empat tahun lepas.

Difahamkan ketika ini CPSK mempunyai 30 pegawai dan anggota yang dijangka ditambah bilangannya sehingga 100 orang tahun ini.

Baru-baru ini, Sinar Harian mendedahkan mengenai upah lumayan diperoleh rakyat negara ini jika bersekongkol dengan sindiket penyeludupan PATI didalangi warga asing.

Artikel Berkaitan:

Pegawai Pemerintah Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Dimin Awang berkata, sindiket yang didalangi warga asing itu sanggup membayar upah antara RM200 hingga RM400 bagi seorang PATI yang berjaya diseludup.

Malah, laporan muka depan Sinar Harian semalam turut membongkar bagaimana rakyat Malaysia gelap mata dengan sanggup menjadi tonto, pemandu e-hailing termasuk menyediakan homestay sebagai tempat persembunyian PATI.

Punca utama sindiket itu mudah membolosi sempadan negara kerana kekurangan anggota keselamatan yang bertugas.

Buktinya, apabila penyeludup yang terdiri daripada penduduk tempatan memilih menggunakan laluan tikus yang tidak dikawal bagi membawa masuk barangan terlarang, selain sempadan negara (Malaysia-Thailand) turut menjadi lokasi pertukaran dadah.

Faktor kekurangan aset di sempadan negara antara kelemahan diakui oleh bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin. Menurutnya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan PDRM memerlukan penambahan aset untuk menangani isu migran dengan lebih berkesan. Katanya, pelbagai kaedah dan cara digunakan tekong untuk membawa masuk migran ke dalam negara melalui lorong tikus.

Kerajaan diharap dapat mengkaji semula aset di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana kita tahu tekong-tekong ini sudah bersedia dengan kenderaan yang kadangkala lebih canggih menyebabkan sindiket sukar dibanteras.

Bagi kes melibatkan dadah, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador sebelum ini berkata, PDRM memerlukan sekurang-kurangnya 16,000 anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) bagi membanteras penyalahgunaan dadah dilakukan lebih efektif di seluruh negara.

Beliau berkata, ketika ini keanggotaan JSJN di seluruh negara kira-kira 5,000 orang atau hanya lima peratus berbanding anggota dan pegawai di jabatan PDRM lain.

Pun begitu, Operasi Benteng (Op Benteng) koordinasi PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), APMM dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) sepanjang tempoh Januari hingga Jun tahun ini berjaya melaksanakan 1,339 tangkapan melibatkan seramai 3,523 orang PATI.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dalam tempoh itu juga, pihak berkuasa berjaya menahan 211 tekong dan melaksanakan 229 kes pengusiran termasuk merampas 601 barang rampasan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM219.4 juta.

* Izwan Rozlin ialah Ketua Meja Jenayah dan Mahkamah Sinar Harian