Pencarian nelayan hilang dihentikan

Semua agensi terlibat bersetuju hentikan operasi mencari dan menyelamat mangsa berikutan tiada sebarang petunjuk mahupun penemuan positif ditemui sepanjang enam hari operasi mencari dan menyelamat dilakukan. Gambar kecil: Nor Adli
Semua agensi terlibat bersetuju hentikan operasi mencari dan menyelamat mangsa berikutan tiada sebarang petunjuk mahupun penemuan positif ditemui sepanjang enam hari operasi mencari dan menyelamat dilakukan. Gambar kecil: Nor Adli
A
A
A

PASIR PUTEH - Pencarian ke atas seorang nelayan yang hilang ketika mencandat sotong di Perairan Sabak, Kota Bharu dihentikan pada Khamis berikutan tiada sebarang petunjuk mahupun penemuan positif sepanjang enam hari operasi mencari dan menyelamat dilakukan.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, operasi itu disertai 40 anggota dari lima agensi iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Katanya, komuniti nelayan turut membantu pencarian mangsa, Mohd Rafi Omar, 37, dan semua agensi penyelamat bersepakat serta bersetuju untuk menamatkan operasi pada jam 7 malam Khamis.

“Operasi mencari dan menyelamat dimulakan sebaik laporan dibuat pada Sabtu lalu apabila mangsa dilaporkan tidak pulang selepas keluar mencandat sotong pada jarak 18.6 batu nautika daripada Pantai Sabak pada jam 12.01 tengah malam Khamis.

“Sekiranya terdapat petunjuk baharu yang boleh dikaitkan dengan mangsa, Maritim Negeri Kelantan sentiasa bersedia untuk meneruskan semula pencarian,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, secara keseluruhan keluasan kawasan pencarian sektor laut dan udara merangkumi 1,639.61 batu nautika persegi membabitkan tujuh aset laut iaitu Kapal Maritim (KM) Tok Bali dan bot Kilat 17 Maritim Malaysia.

“Bot PSC35 dan PGR27 daripada Pasukan Polis Marin (PPM) PDRM, dua bot JBPM serta bot Destiny 32 milik APM.

“Juga aset udara helikopter AW139 Maritim Malaysia, helikopter AW139 dan pesawat Beechcraft King Air B300 Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM serta helikopter EC725 TUDM,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, Maritim Kelantan mewakili Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua agensi dan komuniti nelayan yang terlibat dalam operasi selama enam hari itu.

“Sekali lagi, orang awam diingatkan agar sentiasa memastikan aspek keselamatan diutamakan sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut.

“Sebarang maklumat lanjut boleh berhubung dengan Pusat Operasi Maritim Kelantan di talian 09-7780070 atau MRSC Kuantan di talian 09-5717345,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Mohd Rafi Omar, 37, dikhuatiri hilang ketika mencandat sotong pada jarak 18.6 batu nautika daripada Pantai Sabak pada Khamis.